
Dalam kesibukan mengejar tuntutan kerja, keluarga dan kehidupan seharian, tidur sering menjadi perkara pertama yang dikorbankan.
Ada yang berjaga sehingga lewat malam untuk menyiapkan tugasan, membalas mesej atau sekadar meluangkan masa untuk diri sendiri selepas seharian sibuk.
Namun, tidur yang mencukupi bukan sekadar memberi peluang kepada tubuh untuk berehat.
Malah, tidur memainkan peranan penting dalam memastikan otak berfungsi dengan baik serta membantu kita mengawal emosi dan mengekalkan kesejahteraan mental.
Menurut Ahli Psikologi Klinikal Alpro Health, Izzaty Shaima Shamsuddin, hubungan antara tidur dan kesihatan mental sebenarnya berlaku dalam dua hala.
“Tidur yang tidak mencukupi atau berkualiti rendah boleh menyumbang kepada masalah kesihatan mental.
“Manakala tekanan dan gangguan emosi pula boleh menyebabkan seseorang semakin sukar untuk tidur.
“Keadaan ini boleh mewujudkan satu kitaran apabila masalah tidur dan kesukaran emosi saling menguatkan antara satu sama lain,” katanya.
Kesan kurang tidur boleh dirasai, walaupun hanya satu malam. Dengan tidur sekitar empat jam, maka perhatian, masa tindak balas dan keupayaan membuat keputusan boleh terjejas dengan ketara.
Malah, kemerosotan fungsi akibat kurang tidur yang lama boleh menyerupai kesan mabuk minum minuman keras.
Bukan itu sahaja, keletihan juga boleh mempengaruhi cara seseorang berinteraksi dengan orang di sekelilingnya.
“Apabila kita terlalu letih, kita mungkin menjadi kurang responsif dari segi emosi terhadap orang lain.
“Keupayaan untuk mengenal pasti atau memberikan respons yang sesuai terhadap emosi orang lain juga boleh berkurangan,” katanya.
Dalam kehidupan seharian, keadaan ini mungkin menyebabkan seseorang lebih mudah gagal memahami perasaan orang lain atau memberikan reaksi yang kurang sesuai dalam sesuatu situasi.
Dari sudut kognitif pula, tidur yang tidak mencukupi boleh menjejaskan perhatian, daya ingatan, bahasa dan pertuturan, selain pemprosesan visual.

Kesannya mungkin kelihatan kecil, tetapi boleh mengganggu rutin harian.
Antaranya termasuk sukar memberikan tumpuan ketika mesyuarat, mengambil masa lebih lama mencari perkataan tepat, terlupa maklumat atau memerlukan lebih banyak masa untuk memahami perkara yang dilihat dan didengar.
Hubungan antara masalah tidur dan kemurungan turut mendapat perhatian dalam penyelidikan kesihatan mental.
Masalah tidur yang berterusan boleh menjadi antara petunjuk bahawa seseorang itu mempunyai kerentanan terhadap kemurungan.
Justeru, corak tidur merupakan salah satu perkara yang wajar diberi perhatian untuk seseorang menjaga kesihatan mentalnya.
Ini bermakna, gangguan tidur yang berpanjangan tidak seharusnya dianggap sekadar kesan daripada gaya hidup sibuk.
Salah satu langkah mudah yang boleh dilakukan untuk memperbaiki kualiti tidur adalah dengan mengamalkan kebersihan tidur atau sleep hygiene, iaitu tabiat dan rutin bagi membantu tubuh serta minda berehat.
Antara langkah yang boleh diamalkan adalah mengekalkan waktu tidur dan bangun secara konsisten.
“Cuba tidur dan bangun pada waktu yang hampir sama setiap hari. Rutin yang konsisten membantu melatih tubuh untuk mengenali waktu berehat,” katanya.
Pada masa sama, seseorang itu juga disarankan untuk mula ‘memutuskan hubungan’ dengan kerja, media sosial dan aktiviti yang merangsang minda sekurang-kurangnya sejam sebelum tidur.
Langkah itu bagi memberikan ruang buat minda beralih daripada keadaan aktif kepada situasi lebih tenang, sekali gus membantu menyediakan tubuh untuk tidur.
Teknik relaksasi seperti pernafasan dalam, latihan grounding atau visualisasi juga boleh diamalkan sebelum tidur bagi mengurangkan ketegangan fizikal dan mental.
“Matlamatnya bukan untuk memaksa diri supaya terus tidur, tetapi mewujudkan keadaan yang membolehkan tubuh beransur-ansur menjadi lebih tenang,” jelasnya.
Hakikatnya, sesekali melalui tidur yang kurang berkualiti merupakan perkara normal. Namun, masalah tidur yang berlarutan lebih daripada dua minggu akan menjejaskan emosi, tumpuan, hubungan dengan orang lain dan fungsi harian.
Dalam keadaan sedemikian, mendapatkan nasihat daripada profesional adalah lebih baik berbanding menganggapnya sebagai sebahagian daripada kesibukan hidup.
“Tidur bukan satu kemewahan atau ganjaran selepas kita selesai melakukan semua perkara dalam senarai tugasan.
“Sebaliknya, tidur merupakan sebahagian daripada usaha menjaga kesihatan fizikal dan mental.
“Dengan memberikan perhatian kepada kualiti tidur, kita bukan sahaja menjaga tubuh, malah turut membantu menjaga fungsi otak, emosi dan cara kita menjalani kehidupan seharian,” ujarnya sebelum menutup bicara.
The post Tidur penting untuk kesihatan mental appeared first on Kosmo Online.





