'Tidur pun kena hurung lalat'

LocalEnvironment
12 Oct 2026 • 8:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Tidur pun kena hurung lalat'
Roslan Daud, 56, dan isteri, Fadilah Abdul Karim, 50, menunjukkan pelekat lalat yang digunakan di kedai makannya di Kampung Changkat Tualang.
Image from: 'Tidur pun kena hurung lalat'
Masalah lalat turut memberi kesan kepada peniaga makanan apabila pelanggan dari luar semakin kurang singgah.
Image from: 'Tidur pun kena hurung lalat'
Gangguan lalat yang berlarutan menjejaskan rutin harian penduduk.
Image from: 'Tidur pun kena hurung lalat'
Osman
Image from: 'Tidur pun kena hurung lalat'
Gangguan lalat yang sudah berlarutan lebih setahun disyaki berpunca daripada penggunaan baja tinja di kebun-kebun tanaman kontan yang terdapat di sekeliling kawasan penempatan.

KAMPAR - Bukan sahaja ketika makan, malah hendak tidur pun terpaksa berdepan gangguan lalat.

Itu situasi dihadapi penduduk Kampung Redang Sawa dan Kampung Changkat Tualang di Malim Nawar di sini yang berdepan gangguan lalat berlarutan sehingga menjejaskan rutin harian, kebersihan makanan dan keselesaan di kediaman masing-masing.

Masalah yang dikatakan semakin ketara sejak beberapa bulan lalu itu turut memberi kesan kepada peniaga makanan apabila pelanggan dari luar semakin kurang singgah, selain menyukarkan penduduk mengadakan kenduri dan jamuan di rumah sendiri.

**media[3676246]**

Bagi suri rumah, Jameah Jabar, 64, keadaan itu menyebabkan dia dan suami sukar menikmati waktu makan serta berehat.

"Duduk pun lalat hurung muka dan telinga. Hendak makan pun susah, minum air pun lalat masuk. Malam-malam hendak tidur pun sama, lalat berterbangan hurung muka sampai rasa tak tahan dah.

"Kalau hendak buat kenduri atau jamuan raya pun kita fikir banyak kali kerana orang yang datang mesti mengadu lalat terlalu banyak. Ada yang memilih untuk buat majlis di rumah anak di tempat lain," katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.

**media[3676244]**

Jameah berkata, pelbagai cara dilakukan bagi mengurangkan gangguan itu, termasuk membeli pelekat lalat yang digunakan setiap hari, namun masalah berkenaan masih berterusan.

Malah katanya, keluarganya perlu sentiasa memastikan makanan dan minuman ditutup bagi mengelakkan lalat hinggap, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kebersihan makanan yang dihidangkan kepada ahli keluarga, terutama cucu-cucunya.

"Pelekat lalat memang selalu beli. Sehari boleh habis empat hingga enam keping, tetapi lalat tetap banyak.

"Kita risau juga kalau lalat masuk dalam lauk atau makanan anak-anak. Hendak makan pun tidak tenang kerana terpaksa sentiasa menutup makanan," katanya.

Peniaga kedai makan di Kampung Changkat Tualang, Osman Sharif, 58, berkata, jumlah pelanggan merosot kira-kira 50 peratus berikutan keadaan premis yang sering dikerumuni lalat sehingga menimbulkan rasa kurang selesa kepada pelanggan.

**media[3676251]**

Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan, malah menimbulkan kebimbangan terhadap persepsi orang luar terhadap kebersihan premis makanan di kawasan berkenaan.

"Dulu ramai orang luar singgah, termasuk mereka yang berbasikal melalui kawasan ini. Tetapi apabila lalat terlalu banyak, mereka tidak lagi berhenti makan.

"Kalau orang kampung mungkin sudah biasa dengan keadaan ini, tetapi orang luar tentu berasa jijik atau bimbang dengan risiko penyakit apabila melihat lalat terlalu banyak di kedai makan," katanya.

Osman yang sudah dua tahun mengusahakan kedai makan mengakui terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membeli pelekat lalat dan menggunakan serai wangi bagi mengurangkan gangguan itu, namun langkah berkenaan hanya memberikan kesan sementara.

"Pelekat lalat letak sekejap sahaja sudah dipenuhi lalat.

"Kalau masalah ini berterusan, bukan sahaja peniaga terjejas, malah penduduk sendiri tidak selesa kerana keadaan sama berlaku di rumah masing-masing," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Changkat Tualang dan Redang Sawa, Ahmad Kazimi Ibrahim berkata, gangguan lalat di kedua-dua kampung itu sudah berlarutan lebih setahun disyaki berpunca daripada penggunaan baja tinja di kebun tanaman kontan yang terdapat di sekeliling kawasan penempatan berkenaan.

Menurutnya, terdapat hampir 10 lot kebun antaranya jagung dan ubi keledek dengan keluasan dianggarkan antara 50 hingga 100 ekar setiap satu di sekitar kawasan kampung yang menempatkan lebih 160 rumah.

**media[3676249]**

Beliau menjelaskan, antara tindakan awal yang dilakukan JPKK ialah membawa isu itu ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak berkuasa tempatan (PBT), selain menasihati pengusaha kebun berhubung masalah yang dihadapi penduduk.

"Kita mengesyaki penggunaan baja di kebun berhampiran mungkin menyumbang kepada masalah ini, tetapi perkara ini perlu diteliti pihak berkuasa.

"Jika ada tindakan bersepadu termasuk kawalan ketat penggunaan baja oleh agensi berkaitan, mungkin dapat kenal pasti punca sebenar dan mencari penyelesaian berkesan supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved