SHAH ALAM – Pengelasan ‘tier’ bukan penentu mutlak kemenangan sesebuah parti politik di kawasan Parlimen, sebaliknya realiti di lapangan kekal menjadi faktor penentu utama.
Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan menegaskan, kemenangan tidak boleh diukur semata-mata melalui analisis berasaskan data pilihan raya lalu kerana ia tidak menggambarkan dinamika semasa pengundi.
Menurut beliau, kepercayaan rakyat, konsistensi khidmat serta pendekatan berteraskan kemanusiaan merupakan elemen kritikal yang sering diabaikan dalam penilaian berasaskan ‘tier’.
“Analisis data pilihan raya lalu memang penting, namun ia tidak mengambil kira faktor paling signifikan dalam menentukan keputusan semasa.
“Antara faktor lain yang perlu diberi perhatian ialah kekuatan calon, kecekapan gerak kerja jentera serta sentimen pengundi terkini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan penilaian dalaman PKR yang lebih menyeluruh mendapati Parlimen Tambun lebih tepat dikategorikan sebagai Tier 2B berbanding Tier 3.
Katanya, calon yang berwibawa dan dekat dengan rakyat berupaya mengubah landskap politik setempat, termasuk memperkukuh kawasan marginal serta menjadikan kerusi mencabar lebih kompetitif.
“Realiti bahawa ada kerusi dilihat berisiko bukan satu kelemahan, sebaliknya mencerminkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan parti dalam menghadapi cabaran sebenar di lapangan.
“Dalam politik semasa, kemenangan tidak bergantung kepada label ‘tier’, tetapi keupayaan membaca realiti serta bekerja lebih keras daripada lawan,” ujarnya.
Terdahulu, berdasarkan dokumen Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier yang dibentangkan dalam perjumpaan melibatkan kira-kira 900 pimpinan PKR di Petaling Jaya, kerusi Parlimen Tambun yang diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diklasifikasikan sebagai Tier 2B (marginal).
Pengkelasan Tier 2B dan Tier 3 merujuk kepada kawasan Parlimen yang berada dalam kategori berisiko tinggi atau memerlukan usaha pemulihan sokongan serta pengukuhan imej secara menyeluruh.


