
PETALING JAYA – “Arwah ada beritahu dia mungkin tak boleh tolong (kerja) dah selepas ini,”
Itu antara perkara yang masih terngiang-ngiang dalam ingatan pemilik sebuah syarikat katering, Khairudin Mahmud, 57, selepas mengetahui pekerja sambilannya, Shaik Mohd. Firdaus Shaikh Yahya, 53, maut bersama dua anak perempuannya dalam nahas di ibu negara, awal pagi tadi.
Menurut Khairudin, beberapa pekerjanya sebelum ini turut menyangka Allahyarham mungkin memperoleh pekerjaan lain yang lebih baik apabila dimaklumkan dia mungkin tidak dapat lagi datang membantu.
Katanya, Allahyarham yang merupakan pesara tentera hanya bekerja secara sambilan dengannya dan kebiasaannya datang membantu pada setiap Jumaat dan Sabtu termasuk memasak nasi untuk tempahan katering.
Khairudin berkata, dia mengenali Allahyarham sejak beberapa tahun lalu selepas keluarga lelaki itu menggunakan perkhidmatan kateringnya bagi majlis perkahwinan seorang anak.
“Selepas lama tidak berhubung, saya tanya dia buat apa sekarang. Dia kata tidak buat apa-apa, jadi saya ajak datang tolong kerja dengan saya.
“Saya pernah tawarkan dia kerja tetap tetapi dia tidak mahu sebab katanya sudah pencen dan kerja ini sekadar untuk mencari pendapatan sampingan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Khairudin berkata, sepanjang bekerja dengannya, Allahyarham yang menetap di Mambang Di Awan, Kampar dikenali sebagai seorang pekerja yang komited dan bertanggungjawab.
Katanya, Allahyarham tidak pernah ponteng kerja selain sentiasa memaklumkannya sekiranya mempunyai urusan termasuk apabila perlu ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Allahyarham adalah Ahad lalu ketika mangsa datang membantu di tempatnya.
“Bila hendak balik, dia beritahu, ‘bos, saya balik dulu bos’. Itu kali terakhir saya jumpa dia. Masa hari jadi saya pun dia antara staf yang bawa hadiah kepada saya. Memang dia ada ingatan kepada saya,” katanya.
Katanya, berita mengenai kematian Allahyarham diterimanya selepas pukul 7 pagi apabila saudara mangsa menghubungi salah seorang pekerjanya sebelum perkara itu dimaklumkan kepadanya.
“Saya kemudian tengok berita dan baru tahu apa yang berlaku. Memang terkejut sebab sepatutnya dia akan datang membantu lagi Jumaat dan Sabtu ini,” katanya.
Dalam kejadian awal pagi tadi, Shaik Mohd. Firdaus maut bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, selepas mereka dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen (JIM) di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Isteri Allahyarham, Norhayati Razali, 55, yang turut terlibat dalam kejadian itu kini dirawat di unit rawatan rapi dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.– KOSMO! ONLINE
The post Tiga beranak maut: ‘Arwah ada beritahu lepas ni tak boleh datang tolong dah’ appeared first on Kosmo Digital.



