Tiga bulan selepas kematian tragik Yap Shing Xuen, ibu anggap ia tempoh paling menyakitkan

14 Jan 2026 • 10:44 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Hari ini genap tiga bulan Yap Shing Xuen, 16, meninggal dunia dalam insiden kejam yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Kematiannya meninggalkan kesan yang mendalam ke atas ibunya, Wong Lee Ping serta keluarga dan tempoh berkenaan dianggap sebagai waktu paling sukar dalam hidup mereka.

“Tiga bulan kebelakangan ini merupakan tempoh paling menyakitkan dalam hidup kami.

“Kesedihan ini terlalu mendalam, sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Tanpa suara dan gelak tawanya, rumah kami terasa begitu sunyi dan kosong,’’ katanya, lapor Malay Mail.

Pada 14 Oktober lalu, Yap Shing Xuen, ditemui tidak bernyawa di tandas sekolah dalam keadaan berlumuran darah selepas ditikam seorang pelajar lelaki dari kelas peralihan di sekolah yang sama.

Berikutan itu, seorang pelajar berusia 14 tahun didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.

image is not available
Wong Lee Ping - Gambar fail Malay Mail, 14 Januari, 2026

Kekosongan itu, kata Wong amat dirasai terutama pada hari-hari istimewa seperti hari lahir atau Perayaan Dongzhi (tibanya musim sejuk) yang sebelum ini dirai dengan penuh kegembiraan.

Bagi Wong, meneruskan kehidupan juga tidak bermakna melupakan meskipun mereka sekeluarga memerlukan masa untuk pulih semula.

Keluarga itu kini belajar untuk hidup dengan kesakitan kehilangan anak serta mencari kekuatan untuk kembali kepada rutin keluarga.

“Kami masih cuba meluangkan masa bersama keluarga pada hujung minggu, namun ketiadaannya sentiasa dirasai.

“Hari-hari istimewa seperti hari lahir atau Perayaan Dongzhi (tibanya musim sejuk) yang dahulunya penuh kehangatan dan kegembiraan, kini hanya membawa kesedihan dan kerinduan. Kami masih memerlukan masa untuk pulih,” katanya.

Kematian tragis Yap telah mengejutkan seluruh negara dan mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar di tempat yang sebelum ini dianggap selamat.

Bagi Wong, sedikit ketenangan yang ada datang daripada mengingati senyuman anaknya, menonton semula video keluarga serta kasih sayang dan doa berterusan daripada rakan-rakan, keluarga dan juga orang yang tidak dikenali.

Wong turut berkata keluarganya menyalakan colok dan berbicara dengan roh Yap setiap hari sambil mempersembahkan snek dan buah-buahan kegemaran anaknya — ritual kecil yang memberikan ketenangan kepada mereka.

Permata hati

Wong turut mengingati kenangan terindah ketika Yap menyanyi di sekitar rumah, atau diam-diam masuk ke biliknya untuk memeluknya, malah menemani Wong dalam perjalanan kerja, sentiasa bersemangat untuk membantu.

“Dia pandai menguruskan masa dan aktif dalam pelbagai perkara tanpa menjejaskan pelajarannya,’’ katanya yang menyifatkan Yap adalah segala-galanya yang diimpikan oleh seorang ibu.

“Dia ibarat cahaya matahari — ceria, baik hati, sopan dan sentiasa tersenyum.

“Dia membawa kegembiraan kepada semua orang di sekelilingnya. Semua orang menyayanginya,” katanya.

Menurut Wong, anak perempuannya juga gemar bersukan seperti bola tampar, badminton dan berenang, suka menyanyi serta menghias biliknya, meluangkan masa bermain dengan sepupu-sepupu yang lebih muda dan sering membuat hadiah buatan tangan untuk keluarga.

“Untuk hari lahir, dia akan berjimat dan mengejutkan kami dengan kek dan hadiah. Dia seorang anak yang penyayang dan prihatin,” katanya.

image is not available
Wong berharap kisah Yap menjadi peringatan kepada masyarakat bahawa tiada seorang pun kanak-kanak yang sepatutnya mengalami nasib seperti anaknya. - Gambar fail Bernama, 14 Januari, 2026

Dalam kenangan

Wong berharap kisah Yap menjadi peringatan kepada masyarakat bahawa tiada seorang pun kanak-kanak yang sepatutnya mengalami nasib seperti anaknya.

“Hormatilah dia dengan menyebarkan kebaikan, melindungi kanak-kanak dan memperjuangkan keadilan,” katanya.

Beliau turut berharap agar masyarakat memberi perhatian yang lebih serius terhadap kesihatan emosi kanak-kanak, memandangkan ramai yang membesar tanpa kasih sayang dan kefahaman, sekali gus meninggalkan luka emosi yang berpanjangan.

“Luangkan lebih banyak masa bersama anak-anak dengan benar-benar mendengar mereka, bukan sekadar tentang pelajaran, tetapi juga perasaan mereka.

“Sokongan emosi sama pentingnya, malah mungkin lebih penting daripada sokongan akademik,” katanya.

Wong turut menggesa pihak sekolah dan kerajaan negeri supaya mengkaji semula serta memperkukuh sistem sedia ada bagi melindungi kanak-kanak, sambil menegaskan bahawa tindakan tidak seharusnya diambil hanya selepas tragedi berlaku.

Ini termasuk menilai semula sistem perundangan sedia ada berkaitan pengendalian jenayah berat yang dilakukan oleh pesalah bawah umur, dengan Wong menegaskan bahawa faktor usia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk kelonggaran dalam kes-kes serius.

“Setiap kanak-kanak berhak menikmati zaman kanak-kanak yang bahagia dan selamat,” katanya. - 14 Januari, 2026

The post Tiga bulan selepas kematian tragik Yap Shing Xuen, ibu anggap ia tempoh paling menyakitkan appeared first on Scoop.