Tiga bulan terngiang suara arwah anak, Linda Rafar mimpi terima panggilan

Health & FitnessLifestyle
14 Aug 2026 • 1:28 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiga bulan terngiang suara arwah anak, Linda Rafar mimpi terima panggilan

PETALING JAYA: Penyanyi, Linda Rafar, berkongsi masih terdengar suara anaknya, Allahyarham Rezaimen Keiflin atau Memen memanggilnya di pintu walaupun selepas tiga bulan pemergiannya.

Cerita Linda, apabila rindunya  semakin dalam, dia berdoa kepada Allah untuk bertemu anaknya di dalam mimpi.

Hasrat itu dikabulkan apabila Linda bermimpi menerima  panggilan telefon daripada anaknya memaklumkan dirinya kini berada di tempat yang lebih baik.

“Tiap malam saya rasa macam dia panggil saya bersihkan bag stoma dia sebab itulah yang saya lakukan hari-hari.

“Satu hari saya doa nak mimpi dia. Malam itu saya mimpi telefon berdering dapat panggilan daripada dia. Memen kata, ‘Mama jangan risau, Memen okay di atas bukit yang sejuk. Ramai anak-anak di bawah umur yang meninggal dunia dijaga oleh Nabi Ibrahim dan isterinya’.

“Dia juga berpesan supaya saya terus melakukan kebaikan di dunia agar kami dapat bertemu semula kelak. Mimpi itu memberi kekuatan kepada saya untuk terus bangkit dan reda,” katanya menerusi perkongsian Studio Sembang yang tular.

Mengimbai kembali detik itu, Memen meninggal dunia pada usia 12 tahun akibat kanser darah yang jarang berlaku iaitu Burkitt Lymphoma tahap empat.

Linda menjelaskan, segalanya bermula apabila arwah yang ketika itu berada di darjah lima sering mengadu sakit perut. Bagaimanapun, pemeriksaan awal tidak menunjukkan sebarang kejanggalan sehinggalah prosedur pengimejan resonans magnetik (MRI) dilakukan.

“Doktor memaklumkan Memen menghidap Burkitt Lymphoma tahap empat. Berita itu sangat mengejutkan sehingga ayahnya meraung di dalam tandas.

“Rupanya Memen mendengar perbualan itu. Saya melihat dia berlari ke wad dalam keadaan menangis sambil mengetuk kepalanya, bertanya mengapa dia yang dipilih untuk menghidap kanser,” katanya.

Tambah Linda, biarpun jiwanya hancur, dia terpaksa berpura-pura kuat di hadapan anaknya itu walaupun sering melepaskan tangisan sendirian di tandas hospital.

Sepanjang tempoh rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Linda menyedari beberapa petanda awal pemergian menerusi hasil seni anaknya.

Menurutnya, Memen pernah melukis gambar matahari yang kini ditafsirkan sebagai simbolik arah perjalanannya. Malah, arwah juga pernah melukis mengenai tragedi MH370.

Sifat pemurah arwah turut menyentuh hati apabila dia enggan membuka hadiah yang diterima daripada sukarelawan hospital, sebaliknya menyimpan permainan tersebut di belakang katil untuk diberikan kepada adik-adiknya.

Menceritakan saat akhir Memen, Linda berkata anaknya itu sempat meninggalkan wasiat dan membahagikan hadiah simpanannya kepada adik-adiknya. Arwah juga didakwa mula menampakkan perubahan tingkah laku seolah-olah sudah melihat ‘alam lain’.

“Dia beritahu nampak ramai orang berbaju putih datang, selain melihat rama-rama dan awan. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia meminta air dan saya berikan walaupun dilarang doktor. Itulah minuman terakhirnya.

“Saya sempat berbisik kepadanya, jika ada sesiapa yang datang menjemput, jangan takut kerana mereka adalah orang yang baik.

“Sebaik sahaja saya berpaling, mesin bantuan hayat berbunyi dan dia sudah tiada. Jenazahnya pada ketika itu sangat bersih dan wangi macam bayi,” katanya. -UTUSAN

The post Tiga bulan terngiang suara arwah anak, Linda Rafar mimpi terima panggilan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved