TANAH MERAH - Taktik tiga lelaki etnik Rohingya menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang disyaki palsu terbongkar selepas ditahan dalam pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, sepasukan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa telah menahan sebuah kereta jenis Chevrolet Optra dalam keadaan mencurigakan sebelum melakukan pemeriksaan terhadap tiga lelaki berusia antara 21 hingga 28 tahun itu.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil semakan terhadap kad UNHCR yang dikemukakan mendapati satu kad masih sah, manakala dua lagi kad disyaki palsu selepas pemeriksaan melalui kod bar dilakukan.
"Susulan itu, pemandu kenderaan ditahan kerana disyaki menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada PATI (pendatang asing tanpa izin) manakala dua lagi lelaki ditahan kerana disyaki menggunakan dokumen UNHCR palsu," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut turut membawa kepada rampasan sebuah kereta Chevrolet Optra, empat telefon bimbit dan tiga keping kad UNHCR dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM44,000.
Ahmad Radzi memberitahu, siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki itu bekerja sebagai buruh binaan di Kajang Utama, Selangor dan mendakwa dalam perjalanan ke Kelantan untuk melawat saudara yang sakit.
Bagaimanapun ujarnya,hasil semakan lanjut di lokasi yang diberikan mendapati alamat rumah yang dimaklumkan tidak wujud seperti didakwa.
Kata beliau, kesemua suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.



