
KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying menggariskan tiga fokus utama untuk melonjakkan sektor pendidikan di Sabah yang sering dikaitkan dengan isu ketinggalan dalam sektor itu berbanding Semenanjung.
Beliau yang pertama kali datang ke Sabah selepas dilantik ke jawatan itu berkata fokus pertama yang akan dititikberatkan adalah menaik taraf sekolah-sekolah daif yang telah menjadi masalah di Sabah sejak sekian lama.
“Sehubungan itu saya merancang untuk melawat sekolah-sekolah yang terletak di kawasan pedalaman dalam siri lawatan saya akan datang,“ katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebengasaan (SK) Anglo Chinese Kota Kinabalu di sini hari ini.
Beliau berkata perkara kedua yang menjadi fokus utama adalah menyelasaikan masalah sekolah kurang murid di Negeri di Bawah Bayu itu.
“Seperti yang kita tahu banyak sekolah di Sabah dikategorikan sebagai sekolah kurang murid dan kita akan mencari jalan penyelesaian untuk membantu sekolah berkenaan sama ada menerusi usaha menambah bilangan pelajar di sekolah itu, atau permasalahan yang lain,” katanya.
Katanya fokus yang ketiga melibatkan isu pendidikan khas yang akan diperkasa di negeri itu dengan beberapa inisiatif yang sedang dirancang.
“Ini pertama kali saya melawat Sabah sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, dan saya akan mendengar semua taklimat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengenai keperluan pendidikan di negeri ini selain tiga fokus utama berkenaan,“ tambahnya.
Pada masa yang sama, Lim mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk membaik pulih sekolah SK Anglo Chinese Kota Kinabalu.
“Semasa membuat tinjauan tadi saya lihat ada beberapa kerosakan yang perlu dibaik pulih termasuk atap dewan yang bocor, beberapa jalan yang berbahaya dan kerosakan tandas,“ katanya. -Bernama
