
3 Hospital swasta baru ini menyediakan rawatan bertaraf dunia
Tiga Hospital Swasta Baru Bertaraf Dunia Bakal Siap Dalam Masa 3 Tahun Di Kuching. Dilaporkan, Sarawak bakal melonjakkan perkhidmatan kesihatannya ke tahap seterusnya dengan pembinaan tiga hospital swasta baharu di Kuching! Projek ini dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, memberikan lebih banyak pilihan rawatan berkualiti kepada rakyat tempatan dan pesakit dari luar negara.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengumumkan bahawa:
- Hospital pertama akan dibina di Batu Lintang oleh IHH Healthcare, sebuah syarikat kesihatan berpangkalan di Singapura.
- Hospital kedua dengan 300 katil akan dibangunkan di North Bank, Tabuan Jaya, khusus untuk rawatan kanser.
- Hospital ketiga, juga dengan 300 katil, akan dibina di Petra Jaya.
“Semua hospital ini akan diuruskan secara swasta dan bakal menarik pesakit mendapatkan rawatan terbaik di Sarawak,” kata beliau semasa perasmian cawangan kedua D Dentist Dental Clinic di Tabuan Jaya.

Alternatif murah dari Singapura, tapi kualiti setanding
Menurut Abang Johari, kos rawatan yang tinggi di Singapura membuatkan hospital swasta di Kuching menjadi pilihan lebih berpatutan dengan kualiti rawatan yang sama hebat.
Lebih menarik lagi, Sarawak juga berada di lokasi strategik dengan sistem pengangkutan yang semakin baik, membolehkan pakar perubatan antarabangsa, terutama dari Singapura yang datang ke Kuching tanpa perlu berpindah secara tetap.
Malah, dengan adanya AirBorneo (syarikat penerbangan milik Sarawak yang bakal dilancarkan), doktor dari Singapura boleh:
- Terbang ke Kuching pada waktu pagi
- Merawat pesakit sepanjang hari
- Pulang ke Singapura pada hari yang sama
Kemajuan dalam teknologi perubatan dan pemindahan data juga membolehkan pesakit dipantau secara jarak jauh, membolehkan doktor membuat penilaian lebih awal sebelum pesakit datang mendapatkan rawatan.

Sarawak bakal jadi destinasi ‘Medical Tourism’
Dengan trend pelancongan perubatan yang semakin meningkat, hospital-hospital baru ini dijangka menarik pesakit bukan sahaja dari Malaysia, tetapi juga Indonesia dan negara jiran lain.
Jadi, siapa sangka dalam masa tiga tahun, Kuching mungkin menjadi pusat rawatan kesihatan premium di rantau ini?
Lagi berita terkini untuk anda di sini:

