KULAI - Tiga individu termasuk dua wanita warga Indonesia ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian dalam talian menerusi serbuan Op Dadu di sebuah premis kedai di sekitar Kulai Besar, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, serbuan kira-kira jam 6.14 petang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.
Beliau berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis Redmi serta wang tunai RM400 yang dipercayai hasil pertaruhan.
“Pemeriksaan terhadap telefon bimbit berkenaan mendapati terdapat aplikasi permainan judi dalam talian.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek berusia antara 26 hingga 29 tahun mengaku berperanan sebagai penjaga kaunter dan individu yang menguruskan tambah nilai (top-up) bagi kegiatan perjudian berkenaan.
"Semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing juga negatif bagi sebarang penyalahgunaan dadah," katanya dalam kenyataan.
Beliau memberitahu, selepas siasatan awal selesai dijalankan dalam tempoh 24 jam, seorang suspek lelaki warga tempatan dibebaskan dengan jaminan polis.
Bagaimanapun, dua wanita warga Indonesia terbabit ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan berkaitan kesalahan imigresen kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Terdahulu, polis mengesan satu video tular di media sosial Threads yang dimuat naik pemilik akaun rxmieee90 pada Jumaat, memaparkan tindakan serbuan dan tangkapan di sebuah premis yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian dalam talian di Kulai Besar.
Seng Lee berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan perjudian dalam talian serta memastikan undang-undang negara dipatuhi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan itu diminta menghubungi Hotline IPD Kulai di talian 07-663 2222 bagi membantu usaha membanteras aktiviti berkenaan.






