
KUALA LUMPUR - Thailand, Brunei dan Kemboja merupakan negara Asean terbaharu yang menyatakan hasrat untuk bergerak dengan Malaysia dalam menangani isu keselamatan dalam talian membabitkan kanak-kanak.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, negara terbabit menyertai Singapura dan Indonesia yang senada serta bergerak dalam hala tuju yang sama terutama bagi mendepani platform-platform media sosial.
Beliau turut menyambut baik perkembangan berkenaan yang disifatkan sebagai 'Asean menuju ke arah yang sama', lapor Bernama.
“Dalam pertemuan dengan rakan sejawat dari Indonesia dan Singapura, kita telah senada dalam hal ini, jadi sekarang lebih bagus, rantau Asia Tenggara akan bergerak dalam hala tuju yang sama, kerana apabila kita bersatu, kita akan lebih kuat, terutama dalam mendepani platform-platform media sosial gergasi.
“Kita dapati langkah ini akan banyak membantu, terutamanya apabila platform melihat rantau ini sebagai satu keseluruhan pasaran. Maka, sekiranya keseluruhan atau majoriti pasaran di Asia Tenggara mula bercakap tentang perkara yang sama, langkah ini akan menjadi lebih mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Kempen Internet Selamat di Universiti Multimedia (MMU) Kampus Melaka di Bukit Beruang, di Melaka, hari ini.
Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia dan Indonesia bersetuju mewujudkan kerjasama antara agensi pada peringkat pelaksanaan bagi menangani isu keselamatan dalam talian kanak-kanak, dengan usaha turut dirancang untuk melibatkan Singapura.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata dalam usaha bersama menangani isu keselamatan kanak-kanak dalam talian, pihaknya turut mengambil pengajaran daripada cara pelaksanaan beberapa sekatan yang dikenakan di negara lain seperti Australia.
“Kita juga mengambil tahu dan maklum tentang beberapa kes terbaharu di Amerika Syarikat, di New Mexico, dan hal ini sangat membantu untuk kita mengambil tindakan atau merancang langkah seterusnya,” katanya. - 1 November, 2026
The post Thailand, Brunei, Kemboja sertai Malaysia tangani isu keselamatan dalam talian kanak-kanak : Fahmi appeared first on Scoop.






