Tiga kategori utama Anugerah Media ADI, ganjaran RM10,000 untuk karya terbaik

15 Apr 2026 • 5:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiga kategori utama Anugerah Media ADI, ganjaran RM10,000 untuk karya terbaik
Ainol Amriz (kiri) dan Mohamad Norjayadi (tengah) melancarkan Anugerah Media Akademi Dalam Industri (ADI) di sebuah hotel pada Rabu. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Image from: Tiga kategori utama Anugerah Media ADI, ganjaran RM10,000 untuk karya terbaik
Mohamad Norjayadi berucap pada Majlis Pengumuman Rasmi Anugerah Media Akademi Dalam Industri (ADI) di sebuah hotel pada Rabu. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Image from: Tiga kategori utama Anugerah Media ADI, ganjaran RM10,000 untuk karya terbaik
Sebahagian peserta menyertai Majlis Pengumuman Rasmi Anugerah Media Akademi Dalam Industri (ADI) di sebuah hotel pada Rabu. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

PETALING JAYA - Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) memperkenalkan tiga kategori utama dalam Anugerah Media Akademi Dalam Industri (ADI) 2026 sebagai usaha memperkasa peranan media dalam menyokong agenda pembangunan bakat, peningkatan kemahiran dan produktiviti negara.

Inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) melibatkan kategori Media Cetak/Portal Berita, Media TV/Radio/Portal (video dalam talian) serta Media Sosial (video pendek).

Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr Mohamad Norjayadi Tamam berkata, penganjuran anugerah itu bukan sekadar platform penghargaan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada penghasilan laporan kewartawanan yang lebih berkualiti, tepat dan berasaskan data.

“Anugerah Media ADI 2026 merupakan satu pendekatan strategik oleh MPC dalam memanfaatkan platform media sebagai medium terbaik untuk mempromosikan inisiatif pembangunan baru dan produktiviti negara.

**media[3492143]**

"Melalui pengiktirafan, ia bukan sahaja meraikan kecemerlangan media, tetapi juga menggalakkan penyampaian maklumat yang jelas dan berkesan kerana komunikasi menyeluruh merupakan komponen penting dalam agenda reformasi dan peningkatan produktiviti negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pengumuman Rasmi Anugerah Media ADI di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Berdasarkan syarat penyertaan Anugerah Media ADI, karya yang dihantar mestilah telah diterbitkan dalam tempoh 1 Ogos 2025 hingga 31 Julai 2026 dengan penekanan terhadap inisiatif, matlamat dan impak ADI.

Pemenang tempat pertama bagi setiap kategori bakal membawa pulang wang tunai RM10,000; diikuti naib johan RM7,000 dan tempat ketiga RM5,000, selain empat hadiah saguhati bernilai RM1,000 setiap satu.

Semua pemenang turut menerima sijil penghargaan dan plak.

Dalam masa sama, Mohamad Norjayadi memaklumkan Diploma Profesional Kewartawanan MPI-MPC turut diperkenalkan sebagai langkah memperkukuh kemahiran pengamal media agar kekal relevan dalam era digital yang semakin mencabar.

Menurutnya, program tersebut memberi tumpuan kepada bidang kritikal seperti keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI), selain menawarkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

"Inisiatif ini merupakan langkah dalam memastikan pengamal media sentiasa relevan berdaya saing dan mampu menghasilkan kandungan yang lebih berkualiti dalam era digital semakin mencabar," ujarnya lagi.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr Ainol Amriz Ismail berkata, dua bidang utama diberi penekanan menerusi Laluan Diploma Profesional Kewartawanan MPI-MPC iaitu AI dan keselamatan siber selaras dengan keperluan semasa industri media.

Menurut beliau, fokus kepada AI bertujuan memastikan wartawan bukan sahaja menggunakan teknologi, tetapi memahami secara mendalam fungsi serta implikasinya termasuk dalam menangani penyebaran maklumat palsu.

"Melalui modul AI, wartawan akan didedahkan dengan analisis data, pengesanan berita tidak sahih serta aspek etika penggunaan teknologi.

"Kita tidak mahu sekadar guna teknologi tanpa kawalan, sebaliknya mahu wartawan berupaya menilai kesahihan maklumat dan mengawal penyebaran berita palsu," katanya.

Ainol Amriz memaklumkan, aspek keselamatan siber turut diberi perhatian berikutan peningkatan risiko penyalahgunaan kandungan media oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Penyertaan hendaklah dihantar dalam tempoh yang ditetapkan mulai 15 April ini dan akan ditutup pada 2 Ogos depan dan keputusan penilaian adalah muktamad.

Kandungan perlu menekankan inisiatif, matlamat dan impak Akademi Dalam Industri (ADI) terhadap produktiviti.