IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan petrol RON95 yang dipercayai diseludup ke negara jiran menerusi satu operasi khas di Pengkalan Hulu pada Khamis.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, menerusi Ops Tiris yang dijalankan kira-kira jam 12 tengah hari itu melibatkan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Gerik bagi memastikan pemeriksaan menyeluruh termasuk aspek teknikal kenderaan dan pematuhan undang-undang.
Menurutnya, dalam operasi tersebut, pasukan penguat kuasa berjaya menahan tiga kenderaan iaitu dua buah Mercedes dan sebuah Toyota Camry yang disyaki terlibat dengan penyelewengan bahan api tersebut.
"Siasatan awal mendapati tiga buah kenderaan yang disyaki itu telah diubah suai pada tangki asal bagi tujuan menjalankan aktiviti penyelewengan petrol.
"Sindiket menggunakan modus operandi dengan mengisi petrol secara berulang kali di stesen minyak berhampiran sebelum keluar masuk ke negara jiran untuk tujuan penyeludupan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kamalludin berkata, susulan itu tiga lelaki tempatan berusia antara 60 hingga 70 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, KPDN turut menyita ketiga-tiga kenderaan tersebut bersama 450 liter petrol RON95 yang disimpan dalam tangki yang telah diubah suai dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM15,741.50.
"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki atau menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.
"Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta dan RM5 juta bagi kesalahan berulang,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.
Orang ramai turut disaran menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan kepada KPDN melalui saluran rasmi termasuk aplikasi WhatsApp di talian 019-848 8000, portal e-aduan, talian bebas tol 1-800-886-800 serta aplikasi Ez Adu KPDN.

