
PETALING JAYA – Memperkukuh keselamatan penunggang motosikal, mengintegrasikan data keselamatan jalan raya antara agensi dan membudayakan amalan selamat dalam menjadi tiga keutamaan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting dalam memperkukuh usaha ke arah Vision Zero yang bermatlamat melindungi nyawa serta mengelakkan kecederaan serius akibat kemalangan jalan raya.
Beliau berkata, usaha berkenaan perlu disokong penggunaan teknologi pintar, penyelarasan dasar dan kerjasama strategik antara pelbagai pihak.
“Kemajuan sistem pengangkutan tidak boleh diukur melalui pengaplikasian teknologi dan kepantasan perjalanan semata-mata, tetapi juga perlu dinilai terhadap sejauh mana kita mampu melindungi nyawa pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas merasmikan Road Safety Congress 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, keselamatan jalan raya memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan pelbagai agensi bagi memastikan langkah pencegahan kemalangan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Jelas beliau, integrasi data keselamatan jalan raya antara agensi juga penting bagi menyokong usaha mengenal pasti risiko serta memperkukuh tindakan berkaitan keselamatan pengguna jalan raya.
“Insya-Allah, melalui kerjasama semua pihak, penggunaan teknologi dan tindakan yang lebih terselaras, kita mampu mengurangkan kemalangan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tiga keutamaan perkukuh keselamatan jalan raya – Ahmad Zahid appeared first on Kosmo Online.






