Tiga konsortium telah dimasukkan ke dalam senarai pendek untuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) oleh MyHSR Corporation. Menurut laporan Berita Harian yang memetik sumber rapat hari ini, tiga konsortium yang terpilih adalah Berjaya Rail Sdn Bhd (Berjaya Rail), konsortium YTL Construction Sdn Bhd dan konsortium China Railway Construction.
Pilihan syarikat yang akan diberikan kontrak membina HSR KL-SG dijangka akan diumumkan pada penghujung tahun uni. Selain itu tarikh pelaksanaan projek juga dikatakan dianjakkan ke 2030 berbanding tarikh asal 2026.

Projek pembinaan kereta apai halaju tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura telah dicadangkan beberapa kali sejak 1990an. Jajaran sepanjang 350 kilometer (335 km di Malaysia dan 15 km di Singapura) ini ingin memendekkan tempoh perjalanan antara kedua-dua ibu negara ini ke sekitar 90 minit berbanding 5 jam dengan kereta dan 7 jam menggunakan kereta api sedia ada. Selain perkhidmatan ekspres, terdapat. juga perkhidmatan henti-henti yang melibatkan 7 stesen.
Malaysia dan Singapura bersetuju membina HSR pada tahun 2013 tetapi projek kemudiannya dibatalkan pada tahun 2021 sebelum diteruskan kembali pada tahun 2023. Pembatalan oleh Malaysia menyebabkan ganti rugi SGD 102.8 juta dibayar kepada Singapura.


