Tiga lagi suspek kes bunuh di Buntong ditahan

LocalPolitics
8 Apr 2026 • 3:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh bagi permohonan reman dan dibenarkan selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut.

IPOH - Polis menahan tiga lagi individu bagi membantu siasatan pembunuhan seorang lelaki berusia 25 tahun dalam kes pergaduhan di Buntong, Isnin lalu.

Ketiga-tiga lelaki warga tempatan berusia antara 28 hingga 34 tahun itu ditahan dalam serbuan di kawasan Pasar Awam Buntong kira-kira jam 5.30 petang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, permohonan reman terhadap ketiga-tiga suspek dibenarkan selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut.

"Tangkapan terbaharu ini menjadikan tangkapan keseluruhan empat individu termasuk suspek utama yang telah direman selama tujuh hari sejak 7 April lalu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham, namun pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.

Sementara itu katanya, dua rakan mangsa yang cedera dalam kejadian tersebut masih menerima rawatan, masing-masing di hospital kerajaan dan hospital swasta, dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih lemah.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 malam itu, mangsa dilaporkan maut selepas dipercayai diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, selain Seksyen 326 dan 148 kanun sama kerana mendatangkan kecederaan parah serta merusuh.