Tiga lelaki warga asing disyaki rogol remaja 16 tahun hingga hamil

LocalPolitics
8 Apr 2026 • 8:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hasil penahanan dua suspek tersebut kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi suspek warga asing berusia 29 tahun - Foto hiasan

TAWAU - Tiga warga asing disyaki merogol remaja berusia 16 tahun dalam kejadian di sebuah hotel di daerah ini, terbongkar selepas mangsa mengadu mengalami kesakitan pada bahagian sulit.

Akibat kejadian itu, remaja berkenaan disahkan hamil selepas menjalani pemeriksaan di hospital.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan selepas mangsa menceritakan kejadian tersebut kepada kakaknya.

“Laporan dibuat selepas remaja itu mengadu sakit pada bahagian kemaluan sebelum dibawa ke hospital oleh kakaknya.

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa hamil dan laporan polis dibuat selepas mangsa mengaku melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki warga asing yang juga teman lelakinya dikenalinya di sebuah hotel,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Difahamkan, mangsa turut dirogol dua lagi lelaki warga asing yang juga rakan kepada teman lelakinya.

Jasmin berkata, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau telah berjaya mengesan dan menahan dua lelaki warga asing berusia 30-an bertempat di tepi jalan Jalan Patrick selepas disyaki terlibat dengan kes yang disiasat.

“Hasil penahanan dua suspek tersebut kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi suspek warga asing berusia 29 tahun di hadapan sebuah kilang di Batu 3 Jalan Apas dan bekerja sebagai buruh kilang.

"Kesemua suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.