Tiga lelaki masih hilang ‘ditelan’ kepala air

11 Nov 2026 • 9:55 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tiga lelaki masih hilang ‘ditelan’ kepala air

HULU SELANGOR – Tiga lelaki iaitu seorang warga Yaman dan dua warga India masih belum ditemukan selepas dihanyutkan kepala air dalam kejadian di Sungai Luit, Kampung Pertak, di sini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hari ini dengan tumpuan di Seksyen C (Jambatan) dan Seksyen D (Empangan).

Menurutnya, pencarian secara pemerhatian di permukaan air turut dilakukan sepanjang malam tadi, khususnya di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Setakat ini, jumlah mangsa yang ditemukan kekal lima orang, manakala tiga lagi masih belum dijumpai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi hari ini menggunakan bot dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9), Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pasukan penyelamat lain.

Katanya, pasukan K9 dan STORM akan memulakan pencarian dari Seksyen B (Kuala Empangan) sebelum bergerak ke hulu sungai bersama pasukan MGP Malaysia.

“Pasukan Bomba Kuala Kubu Bharu (KKB) dan APM pula akan terus memberi tumpuan di Seksyen A, manakala dua pasukan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) membantu operasi di Seksyen C dan D,” katanya.

Semalam, Kosmo! melaporkan lima daripada lapan lelaki yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian itu ditemukan lemas, manakala tiga lagi masih hilang.

Mangsa pertama, V. Vijayan, 36, warga tempatan, ditemukan pada pukul 1.30 pagi di kawasan Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi kejadian di Lata Jebus.

Empat lagi mangsa ditemukan kira-kira pukul 9.20 pagi di kawasan Jambatan Senget, kira-kira 950 meter dari Lata Jebus, manakala seorang lagi ditemukan pada pukul 10.12 pagi di kawasan Jambatan Gantung, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

The post Tiga lelaki masih hilang ‘ditelan’ kepala air appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved