IPOH – Tiga lelaki warga tempatan ditemukan maut dipercayai akibat renjatan elektrik ketika cuba mencuri kabel di kawasan tanah lapang berhampiran Taman Rapat Perdana di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 10 pagi.
Menurutnya, pihak polis dimaklumkan terdapat cubaan mencuri kabel pada tiang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan berkenaan.
"Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati tiga lelaki tempatan telah meninggal dunia di tempat kejadian.
"Siasatan awal mendapati kesemua lelaki terbabit dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba memotong kabel elektrik pada tiang TNB ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Muhammad Najib berkata, mayat ketiga-tiga mangsa berusia antara 35 hingga 50 tahun itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri dan turut diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam kegiatan jenayah seperti mencuri kabel kerana perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang malah boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan, tambahnya lagi.

