
SUNGAI PETANI: Tiga warganegara Pakistan dipenjara selama enam bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan membantu menguruskan premis perjudian dalam talian pada November lalu.
Majistret Noor Farah Hazwani Osman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Ali Raza, 23, Muhammad Azhar, 21, dan Mian Hamid Ali, 23, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Mereka diperintah menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap dan jika gagal menjelaskan denda boleh dihukum penjara selama tiga bulan.
Selain itu, denda tambahan antara RM5,000 hingga RM50,000 boleh dikenakan bagi setiap mesin perjudian yang disita.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu bersama lima individu lain yang masih bebas didakwa membantu menguruskan sebuah premis di tingkat dua, Aman Square, di sini, sebagai rumah perjudian terbuka bagi kegiatan perjudian dalam talian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 12.25 tengah malam, 2 November lalu.
Justeru, mereka dituduh di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan dan denda antara RM5,000 hingga RM50,000.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor R. Sivakumar dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN
The post Tiga lelaki Pakistan mengaku bekerja di premis judi dalam talian appeared first on Utusan Malaysia.



![[VIDEO] Najis tikus dalam mi goreng Sendayan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/MAKANAN-LAUK-1024x768.jpeg)


