Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Kuching hari ini atas tiga pertuduhan susulan insiden seorang guru cedera selepas diserang dengan kapak di sebuah sekolah swasta.
Mengikut pertuduhan, kejadian dipercayai berlaku di sebuah sekolah antarabangsa di sepanjang Jalan Kuching-Samarahan kira-kira jam 7.50 pagi pada 21 Oktober lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada remaja berkenaan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.
Bagi pertuduhan pertama, remaja itu didakwa membawa sebilah kapak kecil yang dikategorikan sebagai senjata berbahaya.
Kesalahan mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang guru berusia 42 tahun menggunakan kapak kecil mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Artikel berkaitan: Kes Serang Guru Di Kuching: Polis Sahkan Pelajar Bawa Mercun & Kap*k Cederakan Guru
Artikel berkaitan: Gempar! Guru Cedera Ketika Cuba Rampas Objek Tajam Dibawa Pelajar Di Sebuah Sekolah Di Kuching

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, remaja berkenaan didakwa memiliki bahan letupan berupa mercun dan bekas minuman yang telah diubah suai serta mengandungi bahan letupan.
Dia didakwa memiliki bahan berkenaan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah bahawa ia bukan untuk tujuan yang sah.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, remaja itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian memerintahkan remaja itu dihantar ke Hospital Sentosa bagi menjalani penilaian psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Disember depan.
Terdahulu, remaja itu ditahan pada 21 Oktober lalu selepas polis menerima panggilan berhubung seorang guru yang didakwa cedera ketika cuba merampas objek tajam daripadanya.
Sumber: Harian Metro
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.




![[VIDEO] ‘Tiba-tiba nak suruh berhenti dekat jalan gelap’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/BERHENTI-GELAP-1024x576.jpeg)

![[VIDEO] Najis tikus dalam mi goreng Sendayan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/MAKANAN-LAUK-1024x768.jpeg)