
Kota Kinabalu: Anson Yeo Boon Xiang dan Jamie Tan Huan Ying muncul juara pada Kejohanan Golf Terbuka Amatur Sabah ke-39 yang berakhir pada Ahad di Sabah Golf and Country Club (SGCC).
Anson, yang mewakili Samarahan Country Club, Kuching, merangkul gelaran kategori lelaki dengan jumlah tiga hari sebanyak 222 pukulan.
Naib juara dimenangi rakan sekelabnya Benjamin Ethan Ngelinkong (229), diikuti pemain Kelab Golf Kinabalu Afdlin Mikhail Mohd Sofian (230) di tempat ketiga.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Sementara itu, Jamie dari SGCC berjaya mempertahankan gelaran kategori wanita dengan catatan 231 pukulan, jauh mendahului Abigail Kedung Pearson (248) di tempat kedua dan Shannon Sim Xuan (268) di tempat ketiga.
Ia merupakan pencapaian berganda buat Anson dan Jamie kerana kedua-duanya yang sebelum ini menjuarai Kejohanan Terbuka SGCC pada Februari lalu, turut merangkul hadiah utama bagi kategori skor gross terbaik lelaki (72) dan wanita (73).
Anson juga melakukan pukulan selubang (hole-in-one) di lubang ke-12 pada hari kedua, manakala Jonathan Paramananthan dari Kota Permai Golf and Country Club, Selangor turut mengulangi pencapaian sama di lubang itu pada keesokan harinya.
Dalam kategori nett, gelaran lelaki dimenangi oleh Faizal Tahir (135) diikuti Mohd Haziq (138) di tempat kedua dan Cyqal Vozoon Feliix (144) di tempat ketiga. Tiga tempat teratas kategori wanita pula menjadi milik Rokia Daud (144), Nur Aryana Shafiyya Razali (149) dan Chloe Charmaine Chun CH (152).
Skor nett terbaik lelaki dimenangi oleh Shah Rizal Basri (65) manakala kategori wanita dimenangi oleh Chloe Charmine (70).
Bagi kategori jemputan, gelaran juara dimenangi Tan Peng Juan (39), diikuti Lim Foo Ann (38) dan Kadir Ali (37).
Presiden Persatuan Golf Sabah (SGA) Nash Hon dalam ucapannya pada majlis penyampaian hadiah merakamkan penghargaan kepada 64 pemain yang mengambil bahagian dalam kejohanan tahunan itu meskipun berdepan cuaca tidak menentu.
Katanya, Terbuka Amatur Sabah merupakan antara kejohanan penting bagi SGA dalam memilih pemain untuk Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan serta Piala SGA menentang Sarawak yang dijadualkan berlangsung di Eastwood Valley Golf and Country Club, Miri pada 21-23 November.
Kejohanan lain yang mendapat pengiktirafan SGA ialah Terbuka Amatur Kelab Golf Kudat ke-18 (12-14 September), Terbuka Amatur Kelab Golf dan Country Club Keningau ke-27 (19-21 September), dan Kejohanan Terbuka Amatur Sandakan ke-44 (26-28 September) untuk pemilihan Piala SGA.
Beliau menambah, pemain yang berhasrat merebut tempat dalam skuad Sukma juga akan berpeluang menyertai Terbuka Amatur Lelaki ke-32 & Wanita ke-25 Kelab Golf Labuan (19-21 November), Masters Junior Antarabangsa Sabah ke-13 (19-21 Disember) serta Masters Junior Kinabalu edisi pertama 2026 (9-11 Januari).
Hon turut merakamkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur atas komitmen dan kerja keras mereka memastikan kejayaan kejohanan, serta semua penaja atas sokongan yang diberikan.
