
LAHAD DATU: Tiga maut, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, selepas motosikal yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan dua pacuan empat roda (4WD) di KM30 Jalan Lahad Datu-Tungku, Rabu.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 6.45 petang ketika motosikal berkenaan dalam perjalanan ke Lahad Datu dari Tungku, manakala dua lagi kenderaan berada di laluan bertentangan.
Katanya, dalam kejadian itu, penunggang iaitu lelaki berusia 45 tahun dan pemboncengnya, seorang wanita berusia 39 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan, maut setelah motosikal itu bertembung dengan sebuah Mitsubishi Triton yang sedang memotong sebuah Isuzu DMax.
“Impak pertembungan menyebabkan ketiga-tiga mangsa tercampak dari motosikal mereka, manakala motorsikal mereka tercampak ke lorong kiri dan masuk ke bawah Isuzu DMax.
“Isuzu DMax yang dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun bersama penumpang wanita dan seorang kanak-kanak, hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan, Khamis.
Menurut Azmir, penunggang dan pembonceng motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu dan penumpang dari dua kenderaan lain tidak mengalami kecederaan.
Katanya, hasil siasatan mendapati punca kemalangan disebabkan oleh kecuaian pemandu Mitsubishi Triton itu, yang memotong secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan.
“Semua pemandu kenderaan dan penunggang motosikal tidak disyaki dipengaruhi dadah atau alkohol, bagaimanapun, sampel darah diambil untuk dianalisa.
“Siasatan diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Humaidi Harun pada talian 089-881255 sambungan 414 untuk membantu siasatan.
Azmir turut menasihati pengguna jalan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya, serta sabar dan berhati-hati ketika memandu untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.02 malam.
Katanya, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi dan mendapati kemalangan berkenaan melibatkan tiga kenderaan.
Tiga orang mangsa yang menaiki motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 8.50 malam.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

