
TAIPING - Tiga maut manakala enam lain cedera dalam nahas membabitkan dua kereta di Kilometer 262.5, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara dekat Changkat Jering pada Jumaat.
Mereka yang maut merupakan seorang lelaki dan dua wanita manakala seorang wanita dan lima kanak-kanak cedera.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Trong, Mohd Shahidan Hassan berkata, sepasukan enam anggota diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 11.11 malam.
Menurut beliau, nahas melibatkan kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki lima mangsa dan kereta Honda Civic dinaiki empat mangsa.
"Setibanya di lokasi, terdapat dua mangsa tersepit dalam kenderaan terlibat. Anggota menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa.
"Mangsa kemudian diserahkan kepada pegawai kesihatan sebelum mengesahkan tiga orang meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Mohd Shahidan berkata, enam mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Taiping bagi menerima rawatan manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
