
PAITAN - Tiga individu dipercayai melecur selepas sebuah kapal membawa muatan petrol terbakar dalam kejadian di Jeti Paitan di sini, pada Jumaat.
Difahamkan, kapal terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Paitan ke Pulau Jambongan, Beluran untuk membawa bahan api berkenaan.
Semua mangsa yang belum diketahui identiti itu dikatakan menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam sungai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Machel berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung sebuah kapal membawa muatan petrol terbakar pada jam 5.15 petang.
Katanya, seramai tiga anggota ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 173 kilometer dari BBP Beluran.
"Menurut maklumat, kebakaran melibatkan sebuah kapal laut membawa muatan petrol musnah terbakar 100 peratus.
"Pasukan bomba bergegas ke lokasi untuk pengesahan dan setakat ini belum ada pengesahan mangsa yang dilakukan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Kata Edoen lagi, maklumat terkini akan dikemaskini dari masa ke semasa.

