Tiga orang awam maut, 10 cedera serangan di Arab Saudi

22 Oct 2026 • 9:55 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiga orang awam maut, 10 cedera serangan di Arab Saudi

RIYADH: Serangan yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, timur Arab Saudi, mengorbankan seorang individu dan mencederakan lapan yang lain pada petang Rabu, menurut pihak berkuasa penerbangan awam negara itu.

Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa itu berkata, kecederaan mangsa adalah daripada tahap ringan hingga serius, manakala kerosakan harta benda di lapangan terbang berkenaan turut dinilai.

Kenyataan itu tidak memperincikan jenis serangan yang berlaku. 

Bagaimanapun, beberapa lapangan terbang di Arab Saudi menjadi sasaran serangan peluru berulang kali sejak beberapa hari kebelakangan ini oleh kumpulan Houthi di Yaman yang disokong Iran.

Sementara itu, Kementerian Tenaga Arab Saudi berkata bahawa serpihan dron yang berjaya dipintas ketika menyasarkan sebuah kemudahan minyak mengorbankan dua orang dan mencederakan dua lagi pada Rabu.

“Cubaan serangan itu mengakibatkan kematian dua individu, masing-masing warga Filipina dan Nepal, serta mencederakan dua yang lain,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kementerian berkenaan tidak menyatakan pihak yang melancarkan dron yang menyasarkan medan minyak Shaybah, berhampiran sempadan Emiriyh Arab Bersatu (UAE).

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, serangan Houthi terhadap Arab Saudi mencapai skala yang belum pernah berlaku sebelum ini, sehingga memaksa Riyadh menutup lapangan terbang utamanya dan menangguhkan persidangan pelaburan utama.

Sekatan maritim oleh Houthi turut mengancam eksport minyak negara itu, yang merupakan pengeksport minyak mentah terbesar dunia.

Arab Saudi kemudian mendapatkan sokongan sekutunya. Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang melakukan lawatan mengejut ke negara itu pada Rabu sebagai tanda solidariti berkata, tentera Perancis akan membantu melindungi terminal minyak utama Yanbu di Laut Merah.

Sehari sebelumnya, kerajaan Britain mengumumkan akan mengerahkan beberapa jet pejuang bagi membantu Arab Saudi mempertahankan diri daripada serangan yang semakin meningkat. – AFP

The post Tiga orang awam maut, 10 cedera serangan di Arab Saudi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved