Tiga pekerja ladang warga Bangladesh maut dalam pergaduhan

4 Aug 2026 • 11:35 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiga pekerja ladang warga Bangladesh maut dalam pergaduhan

PORT DICKSON: Pergaduhan melibatkan sekumpulan buruh ladang warga Bangladesh di Taman Linggi di sini berakhir tragedi apabila tiga lelaki ditemukan maut, manakala seorang lagi cedera, semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, sebelum kejadian dipercayai telah berlaku pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki warga Bangladesh termasuk suspek dan ketiga-tiga mangsa yang merupakan rakan sekerja.

Katanya, pada pukul 4.15 petang semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian pergaduhan melibatkan beberapa warga Bangladesh di sebuah rumah di Taman Linggi.

“Susulan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Linggi bergegas ke lokasi sebelum menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 40-an yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

“Hasil pemeriksaan menemukan satu mayat di dalam rumah sebelum siasatan lanjut membawa kepada penemuan dua lagi mayat di kawasan Ladang SUA Manggis, Linggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alzfny berkata, ketiga-tiga mangsa yang berusia antara 40 hingga 50-an disahkan meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

“Siasatan awal mendapati semua mangsa dan suspek merupakan rakan sekerja di sebuah ladang serta tinggal di kediaman yang sama.

“Kejadian dipercayai berlaku di beberapa lokasi dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti kronologi sebenar serta motif kejadian,” katanya.

Beliau berkata, semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala motif kejadian masih dalam siasatan.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – UTUSAN

The post Tiga pekerja ladang warga Bangladesh maut dalam pergaduhan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved