
TEMERLOH – Dua pelajar tingkatan lima maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 119 Jalan Kuala Lumpur Kuantan di sini malam semalam.
Dalam kejadian itu Muhammad Nazim Dzafran Mohd Faizul,17, yang menunggang motosikal dan Muhammad Hafizuddin Abdullah,17, sebagai pembonceng tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, kejadian kira-kira pukul 10.10 malam itu berlaku ketika kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC 135 dalam perjalanan dari arah bandar Temerloh ke ke Chenor di Maran.
“Apabila sampai di lokasi kejadian motosikal cuba memotong sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza tetapi terlanggar bahagian belakang MPV menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke laluan bertentangan.
“Pada masa sama sebuah kereta jenis Toyota Vios yang berada di laluan bertentangan tidak sempat mengelak dan melanggar kedua-dua mangsa,”katanya di sini hari ini.
Katanya, akibat kejadian kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan rata dan semasa insiden cuaca adalah baik.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Dua pelajar tingkatan lima maut dirempuh kereta appeared first on Kosmo Digital.






