Tiga pekerja tersangkut atas kren rosak

6 Oct 2024 • 7:35 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota bomba menjalankan operasi menyelamat tiga pekerja lelaki yang tersangkut atas kren yang rosak pada ketinggian enam meter di sebuah bangunan di Ipoh pada Sabtu. Foto JBPM Perak

IPOH - Tiga pekerja mengalami detik cemas selepas tersangkut pada kren yang rosak pada ketinggian lebih 6 meter di sebuah bangunan berhadapan Padang Ipoh di sini pada Sabtu.

Kejadian melibatkan seorang lelaki tempatan dan dua warga Myanmar berusia lingkungan 24 hingga 32 tahun.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian berlaku semasa kesemua mangsa sedang melakukan kerja-kerja pemasangan papan tanda.

"Mangsa terkandas di atas tren berkenaan dalam tempoh 10 minit sebelum kehadiran anggota bomba.

"Ketua Operasi kemudiannya mengarahkan anggota menggunakan pemasangan stagging yang lengkap dan membawa mangsa turun dengan selamat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Operasi disertai sembilan anggota ini tamat pada jam 9.38 pagi," katanya.