TAWAU - Tiga pelajar lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes rogol melibatkan rakan sekolah mereka di sebuah rumah di Merotai pada Ahad lalu.
Ketiga-tiga pelajar berusia antara 15 hingga 16 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis kira-kira jam 6.50 petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, penahanan tiga pelajar tersebut dibuat selepas seorang wanita membuat laporan berhubung kejadian yang menimpa anaknya.
Menurutnya, tangkapan dilakukan dalam tempoh kurang 24 jam selepas laporan polis diterima ibu mangsa kira-kira jam 4.43 petang hari yang sama.
"Kejadian terbongkar selepas mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Tiga menceritakan detik hitam itu kepada guru kaunseling sekolahnya sebelum dimaklumkan kepada ibu mangsa.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Ahad lalu ketika mangsa dibawa oleh suspek yang juga pelajar Tingkatan Lima menaiki kereta ke sebuah rumah sebelum dirogol oleh remaja tersebut.
"Dua lagi rakan suspek turut ditahan kerana dipercayai bersubahat ketika kejadian berlaku, selain mangsa mendakwa dimalukan serta diejek dengan kata-kata tidak senonoh oleh rakan-rakan suspek di sekolah setiap hari," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jasmin berkata, kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
"Pihak polis memandang serius penglibatan mana-mana individu yang bersubahat dalam jenayah seksual dan tidak akan berkompromi dengan perbuatan keji tersebut," tegasnya.
Tambahnya lagi, pihak polis akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku bagi memastikan masa depan generasi muda tidak terus rosak oleh perbuatan tidak bermoral itu.






