
KOTA BELUD: Polis menahan tiga lelaki atas pelbagai kesalahan trafik dan pengubahsuaian kenderaan sehingga mengganggu ketenteraman penduduk di sekitar pekan Kota Belud di sini, Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Shahruddin Mat Husain berkata operasi itu diadakan bagi membanteras aktiviti uji ekzos motosikal dan menyalahi undang-undang lalu lintas yang membahayakan serta mengganggu ketenteraman awam.
“Mereka yang berusia lingkungan 30 tahun diperiksa sebelum saman trafik dikeluarkan dengan pelbagai kesalahan termasuk mengubah suai kenderaan.
“Semua motosikal turut dirampas mengikut Seksyen 60 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dihubungi.
Seramai tiga anggota polis termasuk pegawai dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bertugas pada Op Samseng Jalanan itu.
Menurut Shahruddin, operasi itu dijalankan susulan aduan orang awam berhubung kegiatan sekumpulan penunggang motosikal yang sering menunggang secara berbahaya dan membuat bising di kawasan itu.
“Polis akan sentiasa memantau dan menjalankan operasi bagi mencegah aktiviti kumpulan bermotosikal yang sering mendatangkan kegusaran masyarakat setempat.
Ibu bapa juga diminta memantau aktiviti anak-anak dan tindakan penguatkuasaan akan diambil jika terdapat pengguna yang masih enggan mematuhi peraturan,” ujarnya.



