
KUALA LUMPUR, 25 NOV: Kerajaan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor sedang melaksanakan tiga projek mitigasi banjir segera bernilai RM749,000 bagi mengurangkan risiko banjir di Shah Alam, yang dijangka siap secara berperingkat antara Februari dan Mac tahun depan.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata projek pertama melibatkan pembinaan benteng banjir (flat wall) dan pemasangan pintu kepak (flap gate) di Taman Rashna dengan kos RM350,000 dan dijadualkan siap pada 17 Mac 2027.
Projek kedua pula melibatkan pembinaan struktur saluran keluar (outlet) dan benteng banjir serta pemasangan pintu kepak berhampiran persimpangan Bukit Raja dengan kos RM199,000 dan dijadualkan siap pada 17 Feb 2027.
“Ketiga, kerja pembinaan benteng banjir di Taman Intan dengan kos RM200,000 yang juga dijadualkan siap pada 17 Feb 2027,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai status rancangan kawalan banjir di Lembangan Sungai Rasah susulan kejadian banjir kilat baru-baru ini.
Abdul Rahman berkata JPS turut menempatkan enam unit pam bergerak di empat lokasi berisiko tinggi, iaitu Taman Rashna, Taman Intan, berhampiran persimpangan Bukit Raja dan pasar raya AEON, bagi mempercepat pengaliran keluar air banjir, sekali gus mengurangkan tempoh air bertakung.
Sebagai penyelesaian jangka panjang, beliau berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan RM40 juta di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi pembinaan pintu kawalan air di muara Sungai Rasah, rumah pam, kolam takungan banjir serta tembok penahan tebing sungai.
“Projek ini dalam peringkat awal penyediaan reka bentuk dengan kerja-kerja fizikal disasarkan bermula pada suku kedua 2028 dan dijangka siap pada 2031,” katanya.
Abdul Rahman berkata kementerian turut mencadangkan supaya projek bernilai RM40 juta itu dibahagikan kepada dua pakej tender berasingan bagi mempercepat pelaksanaannya, sekali gus membolehkan projek berkenaan disiapkan seawal 2029 berbanding sasaran asal pada 2031.
Beliau berkata antara komponen yang akan diberi perhatian ialah usaha menghalang limpahan air Sungai Klang daripada memasuki kawasan berisiko banjir di Shah Alam, dengan anggaran kos antara RM15 juta dengan RM20 juta, tertakluk kepada skop projek dan hasil kajian teknikal.
“Secara keseluruhannya, perancangan komponen ini bertujuan meningkatkan keupayaan sistem kawalan banjir di Lembangan Sungai Rasah dengan lebih bersepadu dan berkesan.
“Langkah ini dijangka dapat mengurangkan risiko serta impak kejadian banjir terhadap penduduk dan kawasan sekitarnya, namun skop akhir projek adalah tertakluk kepada hasil kajian dan reka bentuk terperinci oleh pihak perunding,” katanya.




