Projek tebatan banjir beri kelegaan kepada penduduk Kampung Kebun Bunga

25 Nov 2026 • 3:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Projek tebatan banjir beri kelegaan kepada penduduk Kampung Kebun Bunga

SHAH ALAM, 25 NOV: Masalah banjir yang sekian lama membelenggu penduduk Kampung Kebun Bunga, dekat sini, semakin reda susulan pelaksanaan projek rancangan tebatan banjir (RTB) di kawasan berhampiran.

Penduduk mengakui projek yang dilaksanakan selepas banjir besar pada 2021 itu memberi kelegaan apabila kediaman mereka tidak lagi dinaiki air, sekali gus mengurangkan kebimbangan setiap kali hujan lebat.

Image from: Projek tebatan banjir beri kelegaan kepada penduduk Kampung Kebun Bunga
Mohd Jazzimmy Iskandar Mohd Jalil, 24, di temubual ketika tinjauan di Kampung Kebun Raya, Batu 3, Shah Alam pada 25 November 2026. Foto REMY ARIFIN / MEDIA SELANGOR

Peniaga, Mohd Jazzimmy Iskandar Mohd Jalil, 24, berkata rumah keluarganya yang didiami sejak lebih 20 tahun lalu tidak lagi dilanda banjir selepas komponen RTB berhampiran siap lebih setahun lalu.

Menurutnya, sebelum ini limpahan air Sungai Damansara sering memasuki kawasan kediaman meskipun hujan tidak terlalu lebat, berikutan paras tebing sungai yang rendah.

“Bila RTB siap, benteng sungai belakang lebih tinggi. Sebelum ini paras sungai sama dengan rumah. Jadi walaupun tak lebat, air mengalir dari kawasan lain melimpah.

“Sekarang kalau air naik pun hanya banjir kilat tapi tak masuk rumah. Hanya longkang sahaja penuh. Masa banjir 2021, rumah keluarga saya tenggelam,” katanya kepada Media Selangor.

Image from: Projek tebatan banjir beri kelegaan kepada penduduk Kampung Kebun Bunga
Norkiah Ahmad, 74, di temubual ketika tinjauan di Kampung Kebun Raya, Batu 3, Shah Alam pada 25 November 2026. Foto REMY ARIFIN / MEDIA SELANGOR

Sementara itu, pesara, Norkiah Ahmad, 74, yang menetap di kawasan berkenaan sejak 1960-an berharap keseluruhan projek dapat disiapkan bagi memastikan masalah banjir dapat ditangani secara menyeluruh.

Beliau berkata penyiapan semua komponen tebatan, termasuk sistem saliran dan pengukuhan tebing sungai, penting bagi mengelakkan kejadian banjir besar 2021 berulang.

“Sekarang projek masih berjalan. Harap dapat disiapkan sepenuhnya sebab risau banjir 2021 berulang lagi.

“Kita harap supaya sistem saliran ini jadi keutamaan. Bila tidak dijaga, macam mana air nak mengalir elok. Sama juga dengan pembangunan, kena lihat kesannya kalau tidak diteliti,” katanya.

Kelmarin, Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid memaklumkan jumlah kawasan berisiko banjir di kawasan pentadbirannya berkurang daripada sembilan kepada dua lokasi susulan pelaksanaan pelbagai projek tebatan banjir.

Image from: Projek tebatan banjir beri kelegaan kepada penduduk Kampung Kebun Bunga
ADN Batu Tiga Danial Al Rashid Harun Aminar Rashid ketika Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 11 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, dua kawasan yang masih memerlukan penyelesaian lanjut ialah Taman Rashna dan Padang Jawa, khususnya sekitar Jalan Mat Raji.

Tujuh kawasan lain yang menerima projek penambahbaikan ialah Kampung Air Kuning, Taman Intan, Kampung Kebun Bunga, Taman Ros Bukit Kuda, Seksyen 23, Seksyen 17 dan Seksyen 18.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved