Tiga tahun simpan doa, Lisa Surihani akhirnya jadi tetamu ALLAH pada usia 40 tahun – ‘Suami tak ikut, mesti ada hikmahnya’

3 Nov 2026 • 8:55 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Tiga tahun simpan doa, Lisa Surihani akhirnya jadi tetamu ALLAH pada usia 40 tahun – ‘Suami tak ikut, mesti ada hikmahnya’

ADA doa yang disimpan bertahun-tahun, dipanjatkan berulang kali setiap kali selesai solat, dengan harapan suatu hari nanti menjadi kenyataan.

Begitulah perjalanan Datin Hajah Lisa Surihani yang menyimpan impian untuk menjadi tetamu ALLAH SWT pada usia 40 tahun.

Siapa sangka, doa yang dititipkan ketika mengerjakan Umrah tiga tahun lalu akhirnya dimakbulkan, meskipun tidak sepenuhnya seperti yang diharapkan.

Pelakon itu berkongsi, hasrat menunaikan ibadah Haji pada usia 40 tahun mula terbit ketika beliau mengerjakan Umrah bersama Irkaz Travel & Tours pada Ramadan 2023.

Ketika itu, usianya belum mencecah 40 tahun, namun satu perkongsian mengenai keistimewaan usia tersebut membuka ruang untuk beliau memasang impian.

Menurut Lisa, ketika berada di Tanah Suci, beliau mendapat pengisian daripada seorang ustaz mengenai Surah al-Ahqaf, ayat 15 yang antara lain menyentuh tentang usia 40 tahun dan doa seorang hamba kepada ALLAH SWT.

Image from: Tiga tahun simpan doa, Lisa Surihani akhirnya jadi tetamu ALLAH pada usia 40 tahun – ‘Suami tak ikut, mesti ada hikmahnya’

Perkongsian itu cukup menyentuh hatinya sehingga mencetuskan satu doa yang terus dibawa dalam setiap solat.

“Waktu itu saya belum 40 tahun lagi. Apabila ustaz mengajar tentang doa dalam Surah al-Ahqaf ayat 15, saya rasa terinspirasi dan terilham untuk berdoa.

“Sejak daripada itu, saya tidak pernah berhenti berdoa. Setiap kali solat, saya akan teringat kata-kata itu. Saya selalu berdoa, ‘Ya ALLAH, jemputlah saya untuk mengerjakan Haji apabila berusia 40 tahun bersama suami.

"Tolong izinkan saya, mudahkanlah dan bukakan pintu untuk saya,’” kongsinya.

Tiga tahun menanti, doa tersebut akhirnya menjadi kenyataan apabila rayuan Haji Lisa diterima bagi musim 1447H/2026M.

Image from: Tiga tahun simpan doa, Lisa Surihani akhirnya jadi tetamu ALLAH pada usia 40 tahun – ‘Suami tak ikut, mesti ada hikmahnya’

Lebih bermakna, beliau berpeluang menunaikan rukun Islam kelima itu tepat pada usia yang pernah disebut dalam doanya.

Namun, ada satu bahagian daripada harapan asalnya yang tidak menjadi kenyataan apabila suami tidak dapat bersama-sama menyempurnakan ibadah berkenaan.

Biarpun begitu, Lisa memilih untuk melihat ketentuan tersebut dengan hati terbuka.

Baginya, setiap perkara yang berlaku pasti mempunyai sebab dan hikmah tersendiri, termasuk peluang membina ukhuwah serta mengenali keluarga baharu sepanjang berada di Tanah Suci.

“ALLAH makbulkan doa itu pada tahun ini, ketika saya berusia 40 tahun. Cuma ada satu perkara yang tidak betul-betul mengikut doa saya, iaitu suami tidak dapat ikut bersama.

“Kita mesti reda kerana tentu ada sebab dan hikmahnya. Saya pergi, kemudian terbinanya ukhuwah baharu dan mendapat keluarga baharu. Itu antara bonus yang saya peroleh,” ujarnya.

Image from: Tiga tahun simpan doa, Lisa Surihani akhirnya jadi tetamu ALLAH pada usia 40 tahun – ‘Suami tak ikut, mesti ada hikmahnya’

Lisa turut mengingatkan bahawa seseorang Muslim perlu sentiasa meletakkan keyakinan terhadap doa, meskipun jawapannya tidak hadir dalam bentuk atau waktu yang diharapkan.

Katanya, doa boleh dimakbulkan serta-merta, ditangguhkan kepada waktu yang lebih sesuai atau digantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

“Sebagai seorang Islam, kita mesti yakin bahawa doa itu makbul. Sama ada ia berlaku secara terus, kemudian hari ataupun digantikan dengan sesuatu yang lebih baik,” jelasnya.

Image from: Tiga tahun simpan doa, Lisa Surihani akhirnya jadi tetamu ALLAH pada usia 40 tahun – ‘Suami tak ikut, mesti ada hikmahnya’

Kisah penuh pengajaran itu dikongsikan Lisa menerusi program ‘Kerana DIA Memanggil: Mekah, Aku Datang!’ yang berlangsung di Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre baru-baru ini.

Program percuma tajaan penuh Irkaz Travel itu menghimpunkan lebih 200 peserta, khususnya bakal jemaah Haji, sebagai ruang mendapatkan gambaran dan persediaan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved