
ARENA e-sukan Malaysia mencipta sejarah tersendiri di Honor of Kings World Cup (KWC) at Esports World Cup (EWC) 2026 di Paris, Perancis, apabila tiga wakil negara berjaya bersaing di pentas antarabangsa dengan Geekay Esports muncul sebagai pencapaian terbaik menerusi tempat ketiga.
Geekay menamatkan kempen di podium selepas menewaskan satu lagi wakil negara, ROC Esports, 3-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga. Kemenangan itu menyaksikan Geekay membawa pulang hadiah AS$280,000 ( RM1.13 juta).
Perjalanan pasukan yang dibarisi GuiYu, MusangKing, Shisan, Jem dan Zhe itu bermula dengan langkah meyakinkan di Kumpulan D apabila menewaskan Deep Cross Gaming dari Taiwan 2-0 sebelum mengatasi Team Nemesis dari Indonesia dengan keputusan sama.
Geekay kemudian meneruskan momentum di peringkat kalah mati dengan menewaskan Team Nemesis 4-1 pada suku akhir, sekali gus mara ke kelompok empat terbaik.
Bagaimanapun, cabaran lebih besar menanti di separuh akhir apabila mereka bertemu Kuaishou Gaming (KSG) dari China. Geekay terpaksa akur 0-4, sekali gus terlepas peluang ke perlawanan akhir.
Namun, kekalahan itu tidak mematahkan semangat Geekay apabila mereka bangkit untuk menghadapi ROC dalam perebutan tempat ketiga, sebelum melengkapkan kemenangan 3-0.
Ketua jurulatih Geekay Esports, Zhang Zhetao, berkata prestasi pasukannya di KWC tidak mencapai tahap yang diharapkan apabila mereka gagal menunjukkan kemampuan sebenar ketika berdepan lawan.
“Kami merasakan prestasi kami di KWC tidak mencapai tahap yang diharapkan. Kami menyasarkan untuk mendapatkan kemenangan dalam perlawanan menentang pasukan KSG.
“Namun ketika berdepan pasukan tersebut, kami juga terlalu kerap memberikan peluang kepada pihak lawan dan tidak dapat menunjukkan kemampuan sebenar kami,” katanya kepada K-Remaja.

Sebanyak 20 pasukan dari pelbagai rantau, termasuk Malaysia, China, Indonesia, Filipina, Taiwan, Thailand, Vietnam, Brazil, India dan Korea Selatan, berentap pada KWC EWC26.
Untuk rekod, kejuaraan menjadi milik KSG selepas menewaskan juara bertahan, AG.AL International dari China, 4-3 dalam aksi sengit. KSG membawa pulang hadiah AS$600,000 (RM2.42 juta), manakala AG.AL menerima AS$360,000 (RM1.45 juta) sebagai naib juara.
Mengulas lanjut, Zhetao mengakui pasukannya masih perlu memperkemas beberapa aspek permainan bagi meningkatkan prestasi pada Honor of Kings Malaysia Kings League (MKL) Fall 2026 yang bermula hujung bulan ini.
“Masih banyak aspek yang perlu kami perbaiki, terutama dari segi taktikal, komunikasi dan kerjasama, mentaliti serta prestasi keseluruhan.
“Kami masih mempunyai banyak ruang untuk meningkatkan prestasi dalam semua aspek tersebut terutama pada MKL Fall 2026 nanti,” katanya.
Sementara itu, ROC turut mencatat kempen membanggakan apabila mara ke separuh akhir selepas menewaskan Team Vitality 4-1 di suku akhir.
Bagaimanapun, ROC kemudian tewas 0-4 kepada AG.AL sebelum berdepan Geekay dalam penentuan tempat ketiga.
ROC menamatkan saingan di tempat keempat dengan hadiah AS$200,000 (RM808,000).
Aurora Gaming turut berjaya melangkah ke peringkat kalah mati selepas bersaing di Kumpulan B.
Aurora menewaskan Titan Esports Club 2-0, sebelum tewas 1-2 kepada ROC dan bangkit menundukkan Influence Rage 2-0 untuk mara ke suku akhir.
Bagaimanapun, perjalanan Aurora terhenti selepas tewas 0-4 kepada AG.AL di suku akhir, sekali gus menamatkan kempen di tempat kelima dengan hadiah AS$150,000 (RM606,000).
Dalam pada itu, peminat HOK yang mahu dikenali sebagai Leo berkata, pencapaian pasukan Malaysia tetap membanggakan kerana mereka mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan gergasi.
“Secara keseluruhan, saya bangga dengan prestasi wakil Malaysia di KWC, terutama Geekay yang berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga.
“Walaupun mereka tewas kepada KSG di separuh akhir, pasukan itu bangkit dan menunjukkan semangat juang untuk menewaskan ROC.
“Pencapaian tiga wakil Malaysia yang berjaya bersaing di pentas dunia juga membuktikan perkembangan Honor of Kings di negara ini semakin positif,” katanya.
The post Tiga wakil Malaysia cipta impak di KWC EWC Paris appeared first on Kosmo Digital.


