
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) — Polis menahan tiga warga asing dan merampas rokok seludup bernilai RM769,480 dalam Ops Taring Alpha 1 di Taman Daya, Johor Bahru, semalam.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/ Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Mohd Zaki Ashar berkata dua lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Indonesia berusia 26 hingga 51 tahun itu ditahan dalam serbuan pada 10 malam.
Beliau berkata pihaknya merampas 312,000 batang rokok pelbagai jenama tidak berkastam di dalam rumah selain turut menyita sebuah kereta jenis Proton Exora.
“Operasi yang dilaksanakan berjaya memutuskan rangkaian penyimpanan dan pembekalan rokok tidak berkastam di kawasan Johor Bahru.”Usaha mengesan dan operasi berterusan akan dilaksanakan bagi mengesan individu yang terlibat menjadi dalang dalam penyeludupan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1957 dan Seksyen 6(1)c Akta Imigresen 1959/63.– BERNAMA
The post Tiga Warga Asing Ditahan, Rokok Seludup Lebih RM700,000 Dirampas appeared first on The Malaysian Update.






