Sindiket dokumen palsu di Klang tumpas, wanita warga asing ditahan

28 Jun 2026 • 6:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Sindiket dokumen palsu di Klang tumpas, wanita warga asing ditahan

SHAH ALAM, 28 JUN: Kelicikan seorang wanita warga asing menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen dan cap imigresen sejak tiga tahun lalu terbongkar selepas ditahan dalam serbuan Ops Serkap di Klang, semalam.

Timbalan Pengarah (Kawalan) Imigresen Selangor Mohamad Khusairi Kamarudin berkata wanita terbabit yang dipercayai dalang utama sindiket merupakan pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang sebagai pasangan kepada warga tempatan.

Menurutnya, sindiket itu menyasarkan warga asing dari luar negara sebagai pelanggan sebelum membawa mereka masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, pelanggan kemudiannya ditempatkan di sebuah rumah transit di sekitar Klang selama antara satu hingga dua minggu sebelum pelbagai dokumen palsu disediakan.

“Sepanjang di rumah transit, suspek akan menyediakan pelbagai dokumen tiruan termasuk rekod perjalanan palsu bagi menggambarkan seolah-olah pelanggan mereka memiliki sejarah perjalanan yang kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sindiket itu turut memalsukan rekod pekerjaan di Malaysia selain menyediakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.

Dalam operasi sama, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menahan 11 lagi warga asing dari India, Bangladesh dan Sri Lanka yang disyaki terbabit dengan sindiket berkenaan.

Secara keseluruhan, seramai 12 warga asing berusia antara 25 hingga 40 tahun ditahan di dua lokasi berasingan. Dalang utama disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 manakala individu lain disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.

Mohamad Khusairi berkata siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket termasuk kemungkinan pembabitan pihak dari dalam dan luar negara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved