

Chery Malaysia akhirnya melancarkan secara rasminya Chery Tiggo Cross ke pasaran tempatan, sebentar tadi.
Chery Tiggo Cross ditawarkan dalam dua varian: Tiggo Cross Turbo (RM88,800) dan Tiggo Cross Hybrid CSH pula (RM99,800).
Sebagai makluman, kedua-dua varian ini sebenarnya dipasang secara tempatan di kilang Inokom di Kulim, Kedah.

Dari segi dimensi, ukuran saiz kedua-dua varian ini adalah sama. Kedua-duanya berukuran 4,318mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,670 mm tinggi manakala jarak roda pula 2,610 mm.

Melihat kepada ukurannya, ini meletakkannya ia sama dengan SUV crossover subkompak lain seperti Honda WR-V, Perodua Ativa, dan Mazda CX-3. Pendek kata, Tiggo Cross adalah pesaing terdekat buat WR-V, Ativa dan juga Proton X50.
Sementara itu, bahagian wajah hadapan kedua-dua varian ini juga sama!
Masing-masing hadir dengan lampu depan jenis LED, ada Follow Me Home, lampu depan automatik, lampu nyalaan siang hari dan lampu belakang jenis LED. Terdapat juga lampu kabus, di bahagian belakang, ada rel bumbung dan spoiler di belakang.
Dari bahagian sisinya, varian Turbo hadir dengan rim sebesar 18 inci manakala Hybrid pula rim 17 inci.
Melangkah masuk ke bahagian kabinnya, kedua-duanya hadir dengan skrin berkembar masing-masing bersaiz 10.25-inci untuk paparan instrumen dan sistem infotainmen kamera panaromik 540 darjah, sambungan Bluetooth, Apple CarPay dan Android Auto, Bantuan Suara Pintar dan masing-masing menerima enam pembesar suara.

Kelengkapan lain yang dikongsi bersama untuk kedua-dua varian Tiggo Cross ini adalah roda stering pelbagai fungsi, lampu suasana kabin, upholsteri kulit sintetik berwarna hitam, pengecas telefon pintar tanpa wayar 15W, terdapat dua port pengecas di depan dan satu port pengecas di belakang,
Mengenai ruang butnya, kedua-dua varian seluas 380 liter. Sebelum terlupa, kedua-duanya varian ini juga diberikan tayar ganti. Ini agak menarik kerana varian Hybrid diberikan tayar ganti memandangkan selalunya, kereta Hybrid cuma menerima kit baiki tayar.


Untuk Tiggo Cross 1.5 Liter Turbo, ia mampu menghasilkan kuasa setakat 147 PS dan 210 Nm. Untuk itu, ia mampu memecut dari 0-100 kilometer sejam hanya dalam 10.3 saat tetapi dengan kuasa Sporty,.
Jika dibandingkan dengan varian Hybrid pula, ia disumbat dengan enjin 1.5Liter N/A dimana ia mampu menghasilkan kuasa setakat 96 PS dan tork 120Nm. Dengan adanya motor elektrik di hadapan, ia mampu menghasilkan kuasa 204 PS, 310 Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear khas untuk enjin hibrid (DHT).

Varian ini pula jika menggunakan mod Sport, ia mampu memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 8.9 saat.
Mengenai mod pemanduan, varian Turbo didatangkan dengan Eco, Normal dan Sport manakala Hybrid hanya hadir dengan Eco/Sport. Bagi bab penggunaan bahan api, varian Turbo menawarkan penjimatan bahan api purata dengan catatan 6.3 liter untuk setiap 100 kilometer manakala Hybrid 5.4 liter/100 km. Malah, Chery mendakwa secara keseluruhannya, model ini sebenarnya mampu melakukan perjalanan sehingga 1,000 km..

Bagi yang berminat, Turbo didatangkan dengan warna: Carbon Black, Phantom Grey, Khaki White & Blood Stone Red manakala Hybrid, pula ditawarkan dengan Carbon Black, Phantom Grey, Khaki White & Moonlight Silver.
Mengenai waranti, Tiggo CSH hadir dengan waranti kenderaan 7 tahun atau 150,000 kilometer, waranti bateri, motor, unit kawalan Hybird (8 tahun/160,000km) dan turut ditawarkan dengan servis tunda 24 jam seminggu (7 tahun/150,000km).


