
ROM: Tiket loteri bernilai 1 juta euro (RM4.72 juta) yang dibuang ke dalam tong sampah berjaya ditemukan semula di Itali selepas pemenangnya yang panik meminta bantuan pekerja kutipan sampah untuk mencarinya, menurut syarikat pengurusan sisa kepada AFP.
Tiket kemenangan segera itu secara ajaib masih dalam keadaan utuh selepas pekerja kutipan sampah memeriksa timbunan sampah di dalam lori mereka, kata pentadbir syarikat SAMB di wilayah Puglia, selatan Itali, Roberto Nicola Toscano.
Toscano menjelaskan bahawa pada Ahad, wanita itu pergi ke kedai berhampiran rumahnya untuk menyemak tiket loterinya selepas keputusan cabutan diumumkan.
Namun, mesin memaparkan status tidak boleh dituntut.
Keadaan itu berlaku kerana peruncit kecil hanya dibenarkan menebus hadiah loteri bagi kemenangan bernilai rendah.
Bagaimanapun, wanita yang identitinya dirahsiakan itu tidak menyedari bahawa beliau sebenarnya telah memenangi hadiah utama.
“Pemenang itu sentiasa memilih nombor yang sama kerana ia mempunyai kaitan dengan seseorang yang disayanginya,” kata Toscano.
Selepas pulang ke rumah, seorang ahli keluarganya memaklumkan bahawa nombor yang sering dipilihnya telah memenangi hadiah utama.
Mereka segera kembali ke kedai tersebut tetapi mendapati tiket berkenaan telah dibuang ke dalam tong sampah dan sampah itu telah pun dikutip.
Wanita itu kemudian menghubungi Toscano.
“Kami menjejaki perjalanan tiket itu walaupun tidak begitu berharap dapat menemuinya kerana ia sudah dibawa oleh lori kutipan sampah,” kata Toscano kepada AFP.
Bagaimanapun, nasib menyebelahi mereka apabila mereka berjaya mengenal pasti lori yang membawa sampah tersebut lalu menghentikannya.
Memandangkan sisa buangan mungkin mengandungi bahan berbahaya, lori itu dibawa ke sebuah syarikat khusus yang mempunyai kemudahan untuk menjalankan pencarian dengan selamat, katanya.
Para pekerja mengambil masa lebih sehari untuk mencari tiket tersebut dan menemui pelbagai tiket dan cebisan tiket loteri.
“Di celah-celah timbunan itu, kami akhirnya menemui cebisan tiket yang dicari dan secara ajaib ia masih dalam keadaan utuh,” kata Toscano pada Selasa.
Apabila beliau memaklumkan kepada wanita itu bahawa tiket berkenaan telah ditemui, dia menangis kerana terlalu terharu, katanya.
Operasi menyelamatkan tiket itu bagaimanapun bukan dilakukan secara percuma. SAMB yang berpangkalan di Bitonto, berhampiran Bari, ialah sebuah agensi awam, bermakna kos pencarian itu sepatutnya ditanggung oleh pembayar cukai.
Toscano berkata, beliau meminta wanita itu menandatangani satu akujanji untuk menanggung semua kos tambahan yang ditanggung sepanjang operasi tersebut, satu pertaruhan yang ternyata sangat berbaloi. – AFP
The post Tiket loteri lebih RM4 juta ditemukan di dalam timbunan sampah appeared first on Utusan Malaysia.





