Hasil negeri Melaka melonjak RM122.7 juta dalam tempoh dua tahun

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2026 • 3:37 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hasil negeri Melaka melonjak RM122.7 juta dalam tempoh dua tahun

ALOR GAJAH: Kedudukan kewangan kerajaan negeri terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila kutipan hasil negeri meningkat sebanyak RM122.7 juta dalam tempoh dua tahun.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, hasil negeri meningkat daripada RM427.5 juta pada 2023 kepada RM550.2 juta pada 2025, manakala sehingga 31 Julai tahun ini kutipan hasil telah mencecah RM319.8 juta atau 60.46 peratus daripada unjuran tahunan sebanyak RM528.9 juta.

Menurutnya, pencapaian itu membuktikan keberkesanan langkah pemerkasaan tadbir urus kewangan dan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh sumber hasil tanpa menjejaskan agenda pembangunan.

“Hasil yang kukuh menjadi nadi kepada sesebuah kerajaan. Kerajaan tidak boleh berbelanja melebihi kemampuan, namun pada masa yang sama pembangunan tidak boleh dihentikan, kebajikan rakyat tidak boleh diabaikan dan kemajuan negeri tidak boleh diperlahankan,” katanya.

Beliau berucap merasmikan penutupan Lab Pemacuan Pertumbuhan Mampan dan Ketahanan Strategik Agensi dan Anak Syarikat Negeri Melaka serta Lab Pengukuhan Kutipan Hasil Baharu Negeri Melaka 2026 di sebuah hotel di Alor Gajah, hari ini.

Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, sebanyak 39 anak syarikat merekodkan keuntungan pada 2024 sebelum meningkat kepada 47 syarikat pada tahun berikutnya.

Beliau berkata, selain itu jumlah syarikat yang dikategorikan sebagai syarikat bermasalah (ICU) berjaya dikurangkan daripada 12 kepada hanya lima buah syarikat sahaja.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan negeri tidak akan berpuas hati dengan pencapaian itu dan mahu tindakan pemulihan dipercepatkan supaya baki lima syarikat yang masih berada dalam kategori ICU dapat dipulihkan dalam tempoh terdekat.

“Saya mahu semua agensi dan anak syarikat negeri Melaka berada dalam status sihat, mampan kewangannya, cemerlang tadbir urusnya, profesional pengurusannya dan tinggi nilai sumbangannya kepada negeri,” katanya.

Mengulas mengenai usaha meningkatkan hasil negeri, beliau berkata, bengkel pengukuhan kutipan hasil berjaya mengenal pasti 29 cadangan baharu daripada 26 jabatan dan agensi pemungut hasil dengan anggaran potensi kutipan mencecah RM157 juta bagi tahun 2027.

Daripada jumlah itu, 14 cadangan dikenal pasti untuk dilaksanakan segera, manakala sembilan lagi memerlukan pindaan dasar atau peraturan dan enam cadangan akan diperhalusi sebelum dilaksanakan.

“Antara cadangan utama ialah pembangunan tanah tambakan laut seluas 54 ekar di Bandar XLIV Mukim Klebang yang dianggarkan menjana premium melebihi RM129.37 juta, selain peningkatan kadar sumbangan saliran serta kutipan tunggakan berkaitan tanah,” ujarnya.

Ujarnya, segala perancangan itu perlu diterjemahkan kepada tindakan kerana ruang untuk meningkatkan hasil negeri masih luas sekiranya setiap agensi berani membuat keputusan dan melaksanakan pembaharuan.

“Saya menuntut seluruh entiti agensi dan anak syarikat kerajaan negeri bergerak secara proaktif sebagai satu pasukan yang utuh supaya setiap perancangan benar-benar menghasilkan manfaat yang sampai kepada rakyat Melaka,” katanya. – UTUSAN

The post Hasil negeri Melaka melonjak RM122.7 juta dalam tempoh dua tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved