TikTok padam 9 juta akaun bawah umur

WorldTechnology
8 Oct 2026 • 10:46 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: TikTok padam 9 juta akaun bawah umur

JAKARTA – TikTok menyahaktifkan sembilan juta akaun pelanggan bawah umur bagi mematuhi peraturan perlindungan kanak-kanak dalam talian di Indonesia, kata Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital, Meutya Hafid seperti laporan agensi berita ANTARA

Peraturan Kerajaan No. 17 Tahun 2025 mengenai Tata Kelola Sistem Elektronik untuk Perlindungan Kanak-Kanak (PP Tunas) itu mula berkuat kuasa pada 28 Mac lalu. 

Ia menyekat akses media sosial secara khusus bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun.

Bercakap dalam sidang akhbar kelmarin, Meutya berkata, syarikat gergasi teknologi maklumat, Meta turut mengambil langkah serupa dengan memadamkan 184,000 akaun milik kanak-kanak bawah umur 16 tahun, melibatkan 85,000 akaun Instagram dan 99,000 akaun Facebook. 

Selain itu, Meta memindahkan 22.5 juta akaun bawah umur kepada format akaun remaja.

“Walaupun kami melihat langkah ini sebagai satu kemajuan, kami masih tidak menganggap akaun remaja di Instagram dan Facebook sebagai berisiko rendah. 

“Ia kekal dikategorikan sebagai berisiko tinggi,” kata Meutya.

Beliau turut melaporkan bahawa platform Threads masih belum menyerahkan sebarang laporan penyahaktifan akaun atau tindakan pematuhan berkaitan PP Tunas kepada pihak kementerian.

“Sehubungan itu, kami menggesa Meta untuk segera membuktikan komitmen mereka dalam memenuhi kewajipan undang-undang, terutamanya melibatkan Threads,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau mengetengahkan tujuh risiko utama yang dinilai kerajaan Indonesia dalam mengukur keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak, iaitu risiko hubungan, risiko kandungan, ketagihan, keselamatan pengguna, kesihatan fizikal, kesejahteraan fisiologi dan kesihatan mental.

Antara isu utama masih dibangkitkan membabitkan akaun remaja ialah ciri komunikasi yang membenarkan pengguna berinteraksi dengan individu tidak dikenali.

Tegas Meutya, kerajaan Indonesia tidak mengukur tahap pematuhan peraturan tersebut semata-mata berdasarkan jumlah akaun yang dinyahaktifkan, sebaliknya melihat penyesuaian ciri dalam platform agar lebih selamat kepada kanak-kanak.

Selain menyekat interaksi dengan orang asing, beliau turut menekankan kepentingan penyediaan ciri bagi mengekang ketagihan skrin, seperti penguatkuasaan had masa tontonan. – AGENSI

The post TikTok padam 9 juta akaun bawah umur appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved