
TikTok kini dilaporkan sedang membangunkan sebuah ciri baharu yang akan membolehkan pengguna menghantar duit antara satu sama lain, melalui integrasi sokongan pembayaran di DM (Direct Messsage). Ini sekaligus membolehkan TikTok memperluaskan penawaran mereka, dan turut meliputi perkhidmatan kewangan.
Menurut Bloomberg, sekiranya ciri ini dilancarkan meluas, maka ia akan menggunakan sokongan TikTok Pay yang sedia ditawarkan di Asia Tenggara. TikTok Pay digunakan untuk menguruskan transaksi kewangan di platform berkenaan, antara penjual dan pembeli. Selain untuk pembelian, TikTok juga turut memudahkan pengguna memberikan hadiah kepada pengguna lain dalam bentuk mata wang digital. Langkah pembayaran terus ini dijangka merupakan berasaskan kepadanya, tetapi lebih terus dan mudah tanpa perlu memerlukan pengguna membeli hadiah digital dan sebagainya.
Sekiranya diperluaskan, tidak mustahil kita melihat penggunaan TikTok untuk tujuan pembayaran dan terima pembayaran akan lebih meletus, apatah lagi aplikasi berkenaan digunakan secara meluas seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Bercakap mengenainya, wakil TikTok sekadar menyatakan mereka tidak menguji ciri ini di mana-mana pasaran buat masa ini.


