
OpenAI melancarkan ChatGPT for Teens dengan ia dikatakan adalah kecerdasan buatan (AI)lebih selamat digunakan oleh golongan remaja. Apabila mengesan pengguna adalah berusia bawah 18 tahun atau mereka menetapkan sendiri berusia antara 13-17 tahun, akaun secara automatik akan berubah kepada ChatGPT for Teens.

Ia mempunyai beberapa ciri keselamatan seperti tidak boleh melakukan perbualan seksual atau mengarahkan kepada aktiviti berbahaya seperti bunuh diri, mencederakan diri atau tabiat pemakanan yang tidak sihat.
Terdapat mode belajar khusus dalam ChatGPT for Teens yang menggalakkan pengguna belajar langkah demi langkah dan bukan sekadar meminta ChatGPT memberikan terus jawapan. Turut disertakan ialah ciri kuiz di akhir pembelajaran untuk menguji pemahaman.

Sekiranya kamera diakses, ia akan memberikan amaran sama ada pengguna menyedari risiko privasi gambar dimuat naik. Bagi ibu bapa dan penjaga pula, waktu penggunaan harian dan bila aplikasi akan dikunci boleh ditetapkan dengan tetapan kawalan ibu bapa terbina.
Langkah menghasilkan ChatGPT khusus untuk remaja ini dilakukan selepas berlalu insiden remaja mempunyai hubungan seksual dengan AI dan dalam kes lebih tragik membunuh diri kerana digalakkan oleh chatbot.





