
Alabama iaitu sebuah negeri di tenggara Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berjaya mencapai perjanjian penting dengan TikTok untuk meningkatkan keselamatan remaja di media sosial.

Melalui perjanjian ini, TikTok diwajibkan menghadkan masa penggunaan kepada maksimum dua jam sehari, menetapkan jeda setiap 15 minit, serta melaksanakan semakan umur yang lebih ketat bagi pengguna di Alabama. Langkah ini menjadi titik penting dalam usaha melindungi remaja daripada kesan negatif media sosial sambil menetapkan tanggungjawab jelas kepada platform terhadap kesejahteraan pengguna muda.

Selain itu, syarikat induk ByteDance bersetuju membayar sekurang-kurangnya $100 juta (~RM408 juta) kepada Alabama. Jumlah itu boleh meningkat sehingga $300 juta (~RM1.22 bilion) jika lebih banyak negeri menyertai perjanjian sama. Langkah ini bukan sahaja membuktikan kesungguhan melindungi remaja tetapi membuka ruang kepada tindakan undang-undang lebih meluas di seluruh AS. Ketika ini, lebih 27 negeri bersama Washington D.C. sedang mengemukakan tuntutan serupa.
Hakikatnya, hal ini menunjukkan semakin jelas bahawa remaja tidak boleh dibiarkan terdedah tanpa kawalan terhadap algoritma dan kandungan berisiko. Alabama telah membuka jalan kepada pendekatan yang lebih sistematik untuk melindungi generasi muda. Jika trend ini berterusan, dunia mungkin akan menyaksikan wujudnya sistem kawalan yang lebih teratur dan meluas bukan sahaja di AS tetapi juga di peringkat global.
Sumber – Reuters





