
KLUANG – Seorang remaja lelaki warga Indonesia dituduh dengan empat pertuduhan iaitu melibatkan mengedar dan memilki dadah serta tinggal lebih masa ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Nanda Afrizal, 19, yang dibawa ke mahkamah pada pukul 8.45 pagi mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu oleh jurubahasa dihadapan Majistret Nurasidah A. Rahman.
Mengikut kertas pertuduhan pertama dan kedua, Nanda dituduh melakukan kesalahan pada pukul 3 petang 13 September lalu di Jalan Delima Taman Lian Seng telah didapati mengedar dadah berbahaya dipercayai jenis heroin dengan anggaran berat kasar 17,842 gram serta dadah berbahaya dipercayai jenis methamphetamin dengan anggaran berat kasar 8,109 gram mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dituduh pada masa, tarikh dan tempat sama memiliki dadah dipercayai jenis methamphetamin anggaran berat kasar 5.25 gram dan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bagi pertuduhan keempat, Nanda dituduh pada masa, tarikh dan tempat sama telah melakukan kesalahan sebagai bukan warga negara telah tinggal dinegara Malaysia setelah tamat tempoh lawatan sosial pada 8 Oktober 2025, mengikut Seksyen 15(1)(c ).
Kes yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Nik Noratini Nik Azman tidak menawarkan sebarang jaminan untuk pertuduhan pertama dan kedua, dan menetapkan 25 November sebagai tarikh pertuduhan semula serta penyerahan dokumen termasuk laporan forensik bagi pertuduhan pertama hingga ke tiga.
Bagi kesalahan keempat, mahkamah menetapkan tertuduh dikenakan hukuman penjara selama tempoh lapan bulan dari tarikh ditangkap. – KOSMO! ONLINE
The post Remaja Indonesia dituduh edar, miliki 25.95kg dadah appeared first on Kosmo Online.




