Tim aerobatik Surya Kiran tidak sertai LIMA 2025 sebab konflik bersenjata dengan Pakistan

19 May 2025 • 5:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tim aerobatik Surya Kiran tidak sertai LIMA 2025 sebab konflik bersenjata dengan Pakistan

image is not available

19/05/2025 - 17:03

Tim aerobatik Surya Kiran menampilkan juruterbang terbaik IAF. Oleh Zaki Salleh

LANGKAWI 19 Mei - Hasrat pengunjung untuk melihat aksi aerobatik Tentera Udara India (IAF), Surya Kiran pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA' 25) yang bermula esok tidak kesampaian.

Ini berikutan pasukan tersebut membatalkan penyertaan walaupun telah memberikan komitmen hadir pada LIMA 2025 sejak Mac lalu.

Penarikan tersebut dipercayai ada kaitan dengan konflik bersenjata dengan Pakistan yang meletus sejak 7 Mei lalu.

Kedua-dua negara telah berkonflik selama beberapa dekad dengan isu Kashmir menjadi punca perselisihan.

image is not available

Pengumuman tentang penarikan Surya Kiran bagaimana pun tidak mengejutkan kerana pasukan aerobatik itu tiada dalam senarai akhir pempamer LIMA yang dikeluarkan penganjur minggu lalu.

Sebelum ini, tim aerobatik yang menerbangkan pesawat Hawk 100 itu telah mengesahkan kehadiran mereka, malah ia dimuat naik dalam laman Facebook rasmi.

Selain hubungan diplomatik, penyertaan pasukan aerobatik India itu juga bagi menonjolkan kehebatan IAF sebagai salah satu kuasa udara di Asia.

Ini kerana India memiliki angkatan tentera terkuat di rantau tersebut selepas China dan Jepun.

Juruterbang yang menyertai pasukan aerobatik Surya Kiran ini juga merupakan kumpulan yang terbaik dalam IAF.

image is not available

image is not available

image is not available

Pada Mac lalu Surya Kiran terbabit semasa Hari Ulangtahun Tentera Udara Diraja Thailand di Dong Muang, Bangkok.

Ketiadaan tim Surya Kiran menyaksikan hanya 2 pasukan aerobatik yang mengambil bahagian pada LIMA 2025 iaitu Russian Knights dan Jupiter dari Tentera Nasional Indonesia.

Surya Kiran pernah hadir kali pertama mempamerkan aksi aerobatik semasa LIMA 2007. - DagangNews.com

standard