Tim Cook akan berundur sebagai CEO Apple, John Ternus dilantik sebagai pengganti

WorldTechnology
21 Apr 2026 • 1:28 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

Tim Cook akan berundur sebagai CEO Apple, John Ternus dilantik sebagai pengganti

Apple baru sahaja mengumumkan perubahan besar dalam kepimpinan syarikat. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, Tim Cook, akan meninggalkan peranan CEO dan menyandang jawatan Pengerusi Eksekutif berkuat kuasa 1 September 2026, setelah beliau menerajui syarikat selama 15 tahun menggantikan Steve Jobs pada tahun 2011.

Jawatan CEO akan diambil alih John Ternus, iaitu Naib Presiden Kanan Kejuruteraan Perkakasan Apple pada masa ini. Selain itu, Johny Srouji turut dilantik sebagai Ketua Pegawai Perkakasan berkuat kuasa serta-merta.

Tim Cook Beralih kepada Jawatan Pengerusi Eksekutif

Menurut pengumuman Apple, Tim Cook akan melepaskan jawatan CEO pada 1 September 2026 dan beralih kepada peranan Pengerusi Eksekutif Lembaga Pengarah. Beliau telah menerajui Apple sejak 2011, menggantikan pengasas syarikat, Steve Jobs. Perubahan itu diliuluskan sebulat suara oleh Lembaga Pengarah selepas mengikuti proses perancangan penggantian jangka panjang yang teliti.

Sepanjang tempoh kepimpinannya, Apple menyatakan bahawa Cook membawa Apple melalui fasa pertumbuhan yang signifikan. Ini termasuk pengembangan barisan produk syarikat dan pembangunan perniagaan perkhidmatan seperti App Store, Apple Music, Apple Pay, dan iCloud yang kini menjadi tunjang ekosistem Apple.

Di bawah pimpinannya juga, Apple memperkenalkan Apple Silicon, peralihan kepada cip buatan sendiri merentasi Mac dan produk lain, serta meningkatkan fokus terhadap inisiatif alam sekitar dan rantaian bekalan syarikat.

Dalam kenyataannya, Cook berkata bahawa menjadi CEO Apple adalah keistimewaan terbesar dalam hidupnya, dan beliau amat bersyukur berpeluang bekerja bersama pasukan yang berdedikasi dalam mencipta produk dan perkhidmatan terbaik di dunia.

Mengenai penggantinya, Cook turut memuji John Ternus sebagai seorang yang memiliki minda jurutera, jiwa inovator, dan kepimpinan berintegriti, seseorang yang menurutnya adalah individu yang paling tepat untuk membawa Apple ke hadapan.

John Ternus Dilantik sebagai CEO Baharu

John Ternus yang kini menjawat jawatan Naib Presiden Kanan Kejuruteraan Perkakasan akan mengambil alih jawatan CEO Apple. Beliau menyertai syarikat pada tahun 2001 dan selama ini bertanggungjawab ke atas kejuruteraan perkakasan untuk produk utama seperti iPhone, iPad, dan Mac, termasuk pembangunan Apple Silicon.

Dalam kenyataannya, Ternus meluahkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan, dan berkata beliau amat bertuah kerana berpeluang belajar di bawah Steve Jobs dan dibimbing oleh Tim Cook sepanjang kerjayanya. Beliau turut berjanji untuk meneruskan kepimpinan berdasarkan nilai dan visi yang telah membentuk Apple selama setengah abad.

Johny Srouji Dilantik sebagai Ketua Pegawai Perkakasan

Dalam pengumuman berasingan, Apple mengesahkan pelantikan Johny Srouji sebagai Ketua Pegawai Perkakasan berkuat kuasa serta-merta. Srouji yang kini menjawat jawatan Naib Presiden Kanan Teknologi Perkakasan selama ini bertanggungjawab ke atas pembangunan silikon Apple, termasuk cip Apple Silicon. Dalam peranan baharu ini, beliau akan mengetuai kejuruteraan perkakasan merentasi seluruh syarikat.

Tim Cook memuji Srouji sebagai antara individu paling berbakat yang pernah beliau bekerjasama, dengan pengaruh yang dirasai bukan sahaja dalam Apple, malah merentasi industri secara keseluruhan. Sementara itu, CEO baharu John Ternus turut menyifatkan Srouji sebagai rakan kongsi yang luar biasa dalam pasukan eksekutif, dan menyatakan keyakinannya terhadap Srouji dalam peranan baharu tersebut.

[Sumber: Apple 1, Apple 2]

View Original Article