
BANGKOK: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Polapee Suwanchawee, berkata, beliau akan menyiasat sendiri laporan bahawa syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel membeli tanah bernilai hampir 100 juta baht (RM12 juta) di tiga wilayah sempadan selatan Thailand.
Siasatan itu dilakukan ketika pihak berkuasa memperluas pemeriksaan terhadap pusat komuniti Yahudi atau Chabad di negara itu.
Ketika ditemui di ibu pejabat Parti Bhumjaithai, Polapee berkata pada Selasa, pihak berkuasa sedang memeriksa kira-kira lapan atau sembilan lokasi pusat komuniti Yahudi di seluruh negara.
Ia termasuk pusat yang sedia ada dan projek yang sedang dalam pembinaan.
Sementara itu, di Phuket, beliau berkata, pemeriksaan oleh gabenor wilayah itu mendapati terdapat beberapa ketidakaturan berkaitan permit pembinaan, termasuk kerja-kerja penambahan dan struktur yang mungkin tidak mendapat kelulusan sewajarnya.
Pengendali premis berkenaan akan diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan permohonan atau dokumen yang diperlukan.
Jika gagal berbuat demikian, Polapee berkata, struktur yang terjejas perlu dirobohkan.
Beliau berkata, pemeriksaan di Phuket turut menemukan produk import yang dijual tanpa label atau kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA).
Agensi berkaitan sedang menyediakan dokumen untuk menyita barangan berkenaan.
Pemeriksaan turut dijalankan di lokasi Chabad di beberapa kawasan lain di selatan Thailand, selepas Polapee berkata, penduduk membangkitkan kebimbangan mengenai pembangunan sedia ada dan yang dirancang.
Gabenor wilayah telah diarahkan untuk memeriksa permit pembinaan dan memastikan syarikat yang memiliki tanah beroperasi secara sah.
Pegawai turut diarahkan untuk mengesan sumber pembiayaan bagi pembangunan berkenaan.
Polapee turut berkata bahawa beberapa Ahli Parlimen telah menemuinya dan memberikan maklumat mengenai apa yang mereka dakwa sebagai rangkaian yang melibatkan warga Israel.
Ia termasuk syarikat yang mempunyai kaitan dengan tanah perkuburan dan perniagaan lain, yang membeli tanah di tiga wilayah sempadan selatan.
Beliau berkata nilai tanah yang terlibat dianggarkan hampir 100 juta baht.
Timbalan menteri itu bercadang mengunjungi kawasan berkenaan sendiri untuk menentukan pemilik tanah, sumber wang digunakan untuk pembelian, syarikat yang terlibat dan tujuan mereka memiliki hartanah berkenaan.
Pada awal bulan ini, Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Thailand, Anutin Charnvirakul menandangani perintah pengusiran seorang warga Israel, Yaacov Ohayon, selepas beliau disabitkan kesalahan melakukan tindakan mengugut yang menyebabkan mangsa berasa takut dan tertekan. – AGENSI
The post Timbalan Menteri siasat tanah di sempadan Thai dibeli syarikat berkaitan Israel appeared first on Utusan Malaysia.






