liza23/09/2026 - 18:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept – Aneka Jaringan Holdings Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Aneka Jaringan Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM26.2 juta bagi kerja tanah, cerucuk, tembok penahan dan struktur bawah untuk sebuah projek pangsapuri servis di Jalan Yap Kwan Seng.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Aneka Jaringan berkata anak syarikatnya menerima surat anugerah daripada WDA Architects bagi pihak Exsim YKS 54 Sdn Bhd sebagai pemilik projek.
“Kontrak berkenaan melibatkan cadangan pembangunan satu blok pangsapuri servis 53 tingkat di atas Lot 54, Jalan Yap Kwan Seng, Seksyen 43, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Projek tersebut merangkumi 45 tingkat pangsapuri servis yang mempunyai 394 unit, selain kemudahan awam, ruang mekanikal dan elektrikal (M&E), pejabat strata serta tempat letak kereta mekanikal,” katanya.
Kontrak bernilai RM26.2 juta
Projek tersebut turut mempunyai satu tingkat ruang mekanikal dan elektrikal di aras bawah, satu tingkat bilik peti surat dan tempat letak motosikal di aras satu serta dua tingkat ruang mekanikal dan elektrikal di aras dua dan tiga.
Pembangunan itu turut menyediakan satu tingkat kemudahan awam di aras 3A dan 52, satu tingkat kemudahan awam di aras lima serta tempat letak kereta mekanikal dari aras bawah hingga aras 16.
Pangsapuri servis berkenaan pula terdiri daripada 45 tingkat dengan 394 unit di aras enam hingga 50, manakala satu pejabat strata terletak di aras 3A.
Projek itu turut merangkumi satu tingkat kemudahan awam dan ruang mekanikal serta elektrikal di aras 51, selain satu tingkat ruang mekanikal dan servis di aras bawah tanah termasuk tembok penahan.
Kerja bermula September 2026
Tarikh mula kontrak ditetapkan pada 15 September 2026 dan kerja perlu disiapkan pada 14 Ogos 2028.
Aneka Jaringan berkata, tarikh mula tersebut telah dipersetujui antara anak syarikatnya dengan WDA Architects bagi pihak pemilik projek ketika rundingan akhir kontrak.
Tarikh tersebut dipersetujui bagi memastikan pelaksanaan kerja di bawah kontrak berkenaan tidak mengalami kelewatan.
Aneka Jaringan menjangkakan kontrak itu memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih disatukan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2027 dan 31 Ogos 2028 sepanjang tempoh pelaksanaan kontrak.
Tiada perubahan struktur pemilikan
Syarikat berkata, kontrak tersebut tidak memberi sebarang kesan terhadap modal saham dan struktur pegangan saham Aneka Jaringan Holdings.
Aneka Jaringan juga tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi biasa yang berkaitan dengan pelaksanaan kontrak.
Syarikat berkata, langkah sewajarnya akan diambil bagi mengurangkan risiko yang mungkin timbul sepanjang tempoh pelaksanaan kerja.
Tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang mempunyai kaitan dengan mereka mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.
Kontrak itu juga merupakan sebahagian daripada urusan biasa perniagaan syarikat dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham Aneka Jaringan Holdings. Lembaga Pengarah pula berpandangan bahawa kontrak tersebut adalah demi kepentingan syarikat. - DagangNews.com





