
PETALING JAYA: Pertembungan dua calon bernama Lau di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan menyaksikan Alice Lau kembali mencuba nasib di kawasan itu selepas tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2011.
Alice yang juga Ahli Parlimen Lanang dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat bakal berdepan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Kevin Lau, dalam pertembungan satu lawan satu.
Pencalonan Alice mewakili DAP diumumkan pada saat akhir selepas PKR memutuskan tidak bertanding dalam PRN Sarawak, sekali gus membuka laluan kepada parti itu untuk merebut kerusi berkenaan.
Kevin yang juga Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pula dipilih menggantikan penyandangnya, Wong Soon Koh, yang menguasai kerusi itu sejak DUN berkenaan diwujudkan pada 1991.
Wong, 84, mengumumkan persaraan daripada politik pada 22 November lalu selepas meninggalkan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Bagi Alice, pertandingan kali ini membuka peluang untuk menebus kekalahan kepada Wong yang ketika itu mewakili SUPP pada PRN 2011.
Beliau turut pernah bertanding di kerusi Pujut pada PRN 2021, namun gagal memperoleh kemenangan.
Wong sebelum ini merupakan pemimpin SUPP sebelum dipecat pada 2014, sebelum menubuhkan Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang mesra Barisan Nasional (BN).
UPP kemudian dijenamakan semula sebagai Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 2018 dan bertanding sebagai parti pembangkang pada PRN 2021.
Sepanjang tempoh itu, Wong berjaya mempertahankan Bawang Assan meskipun SUPP beberapa kali cuba merampas semula kerusi tradisinya.
PSB kemudian dibubarkan dan diserap ke dalam PDP, komponen GPS, pada 2024.
Wong meninggalkan PDP awal minggu ini ketika timbul spekulasi GPS akan terus memperuntukkan kerusi Bawang Assan kepada SUPP.
Perkembangan itu berlaku meskipun Wong sebelum ini memberi bayangan Ketua Pemuda PDP, Joshua Ting, bakal dipilih sebagai penggantinya.
Bawang Assan merupakan kerusi campuran dengan kaum Cina membentuk 46.9 peratus daripada keseluruhan pengundi, diikuti Bumiputera bukan Islam (45.7 peratus) dan Bumiputera Islam (6.9 peratus).-UTUSAN
The post Timbalan Speaker Dewan Rakyat cuba nasib di DUN Bawang Assan appeared first on Utusan Malaysia.






